KETIKA dunia menyambut berita yang sepatutnya membawa sinar dengan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas. Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar menjadi orang tengah, kononnya mahu membuka lembaran baharu bagi keamanan. Tapi beberapa jam selepas itu, di Gaza, darah kembali menitis di jalanan.
Seorang lelaki awam ditembak ketika cuba menyeberang jalan. Dia bukan askar, bukan pejuang tetapi cuma manusia biasa yang ingin hidup. Dalam beberapa minit, rakaman itu tersebar dan menggoncang hati sesiapa yang masih punya nurani. Dunia bercakap tentang gencatan senjata, tapi peluru masih bersiul di langit Gaza.
Janji Damai yang Palsu
Dalam kenyataan rasmi, disebut empat perkara utama: menghentikan serangan ketenteraan, mengundurkan pasukan pendudukan, membenarkan bantuan kemanusiaan dan menukar tahanan antara kedua-dua pihak. Namun, ada satu ayat kecil yang ramai terlepas pandang: Gencatan ini hanya bermula selepas diluluskan oleh Kabinet Israel.
Sebelum kelulusan itu pun, bom sudah jatuh semula. Serangan udara menghentam kem pelarian Shati dan bandar Khan Younis. Sembilan orang awam terbunuh, termasuk kanak-kanak. Petugas perubatan di Hospital Al Shifa berkata dengan getir, “Gencatan senjata? Kami tidak pernah rasa pun walau satu minit.”
Kata-kata itu lebih menyentuh dari dentuman bom. Ia menggambarkan betapa jauhnya realiti di Gaza daripada istilah diplomatik yang sering disanjung oleh dunia luar.
Kitaran Derita yang Tidak Pernah Berhenti
Ini bukan kali pertama janji damai dicabuli. Pada Januari 2025, Israel juga bersetuju dengan gencatan senjata yang diluluskan Kabinetnya. Tapi dua bulan kemudian, serangan baharu bermula dan Gaza kembali menjadi padang puing. Media antarabangsa menulis, “Gaza Merana Lagi.”
Ironinya, sejarah berulang dengan skrip yang sama iaitu ada rundingan, ada harapan tetapi adanya pengkhianatan.
Presiden AS, Donald Trump, yang menjadi orang tengah kali ini, berjanji akan memastikan pelaksanaan. Tapi di bumi Gaza, janji itu tidak pernah menjadi kenyataan. Setiap kali dunia menulis tentang “perjanjian damai”, ada ibu yang sedang menggali pasir mencari anaknya di bawah runtuhan.
Pandangan al-Quran dan Prinsip Moral Kemanusiaan
Al-Quran mengingatkan:
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kamu kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.” (Surah al-Anfal, 8:61)
Ayat ini menuntut agar perdamaian dilaksanakan dengan keikhlasan dan amanah, bukan sekadar strategi politik. Rasulullah SAW sendiri menegaskan pentingnya menepati janji, walau dengan musuh. Baginda bersabda:
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayai kamu, dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Hakikatnya, inilah etika perang dan perdamaian dalam Islam yang menunjukkan bahawa kejujuran moral tidak boleh dikorbankan walau dalam konflik. Namun, dunia moden lebih percaya kepada retorik daripada prinsip.
Ulama kontemporari seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan bahawa “keamanan tanpa keadilan hanyalah jeda sebelum kezaliman yang baharu.” Manakala Profesor Tariq Ramadan menulis bahawa “damai sejati lahir bila manusia kembali menegakkan maruah, bukan bila senjata berhenti berbunyi.”
Maka, gencatan tanpa perlindungan kepada rakyat bukanlah damai tetapi ia hanyalah senyap sebelum ledakan seterusnya.
Hakikat di Sebalik Gencatan Senjata
Seorang sukarelawan tempatan berkata dengan marah:
“Berapa kali dunia nak kena tipu lagi dengan perkataan gencatan senjata? Katanya nak buka laluan kemanusiaan, tapi yang kena tembak pun manusia juga.”
Ungkapan itu mencerminkan keletihan jiwa rakyat Palestin yang terlalu lama menjadi bahan uji kepada hipokrasi global. Bagi mereka, “damai” sudah hilang makna. Ia bukan lagi tanda berakhirnya perang, tapi permulaan kepada penderitaan yang baharu.
Seruan Nurani Dunia
Dalam riwayat sahih, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini bukan sekadar nasihat individu, tetapi mesej universal kepada pemimpin dunia bahawa kemanusiaan mesti menjadi asas kepada segala keputusan politik dan diplomasi.
Apa guna rundingan bertingkat-tingkat jika nyawa terus melayang di bawah runtuhan? Apa makna diplomasi jika ia hanya menangguhkan pembunuhan selama beberapa jam?
Hari ini, bila dunia menulis tentang “gencatan senjata”, orang Gaza membaca dengan wajah yang letih. Mereka tahu janji itu tidak akan bertahan lama. Mereka sudah melihat bagaimana “damai” dijadikan alat politik, bukan jaminan hidup.
Selagi dunia terus percaya kepada kata-kata tanpa tindakan, Gaza akan kekal menjadi teater duka di antara politik dan nurani.
Kerana bagi mereka yang hidup di bawah runtuhan, gencatan senjata bukan tanda harapan malah ia cuma jeda seketika sebelum langit terbakar lagi. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah pensyarah di Pusat Kajian Usuluddin & Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










