PETALING JAYA: Negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM58 juta setahun daripada industri perhotelan susulan trend penggunaan platform tempahan penginapan dalam talian yang tidak didaftarkan secara sah.
Situasi itu turut menjejaskan kelangsungan hotel bajet tempatan apabila hampir 3,000 pengusaha hotel bajet kerugian besar apabila pelanggan lebih berminat membuat tempahan bilik melalui platform atas faktor harga lebih murah berbanding hotel berlesen.
Berdasarkan data yang diumumkan oleh penyedia perkhidmatan itu, terdapat kira-kira 53,000 premis di platform mereka dengan jumlah aktif sekitar 39,000 premis yang mampu menjana pendapatan hampir RM134 juta sebulan.
Senario itu bukanlah perkara baharu kerana kebimbangan mengenainya telah disuarakan kepada banyak pihak termasuk kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masalah sejak 10 tahun lalu tetap berterusan sehingga hari ini.
Keadaan itu memaksa sebahagian daripada pemilik hotel bajet di negara ini menjual perniagaan mereka kepada pihak lain dalam usaha meneruskannya operasi perniagaan.
Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, di sebalik kesempitan tersebut, terdapat pihak lain yang terus mengumpul keuntungan tanpa mengeluarkan sebarang modal perniagaan dan membayar cukai kepada kerajaan.
Katanya, kerajaan sepatutnya menerima cukai lapan peratus daripada setiap pemilik hotel serta bayaran RM1,500 untuk membuka dan memperbaharui lesen perniagaan.
“Kerugian besar ini akan menyebabkan persaingan yang tidak seimbang, sekali gus membunuh hotel-hotel bajet yang mematuhi undang-undang.
“Kami terpaksa menanggung cukai lapan peratus untuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), membayar lesen perniagaan sebanyak RM1,500 setahun. Di Sabah dan Sarawak mencecah puluhan ribu setahun untuk perbaharui lesen mereka, perlu mematuhi peraturan bomba, insurans serta tarif elektrik komersial.
“Tetapi platform yang tidak berdaftar ini seperti tidak perlu berbuat apa-apa. Mereka bebas mengiklankan unit penginapan sewaan jangka pendek tanpa perlu melalui proses pendaftaran atau pematuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semua pemilik unit sewaan ini menggunakan tarif elektrik dan internet kediaman yang jauh lebih murah tanpa perlu mengambil kira aspek keselamatan seperti pelan keluar kebakaran, pemadam api serta sistem pendaftaran tetamu yang sah.
Kadar sewaan rumah atau bilik penginapan untuk pelancong juga tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, justeru harga ditawarkan 50 peratus lebih rendah berbanding menyewa hotel.
Sri Ganesh berkata, pemilik penginapan yang beroperasi di kondominium, apartmen servis, rumah teres, banglo serta rumah kedai tidak dibebankan pelbagai kos operasi seperti gaji kakitangan, cukai pelancongan serta lesen perniagaan.
“Kita ingin persoal, adilkah hotel yang mempunyai lesen mematuhi undang-undang dan membayar cukai, sedangkan penyedia STRA yang menggunakan unit kediaman tidak dikenakan tindakan walaupun secara terang-terangan menjalankan aktiviti komersial secara haram,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kawalan data peribadi pengguna yang menggunakan penginapan tidak berlesen.
“Kami bimbang aktiviti jenayah dan maksiat boleh berlaku tanpa pemantauan kerana tiada sistem pendaftaran tetamu yang betul. Malah, ada yang menguruskan kemasukan dan pengambilan kunci hanya melalui kotak simpanan dan aplikasi telefon tanpa sebarang pengesahan sah,” katanya. – UTUSAN








