KUALA LUMPUR: Tindakan hotel mewah menurunkan caj penginapan sehingga ‘separuh harga’ memberikan lebih tekanan kepada pengusaha hotel bajet susulan pandemik Covid-19.
Manakan tidak, lakukan sahaja carian di laman tempahan dalam talian, harga penginapan hotel bertaraf lima dan empat bintang tidak jauh bezanya dengan hotel bajet walaupun ketika hujung minggu dan cuti umum.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, perkara itu terpaksa dilakukan pengusaha hotel mewah meskipun sedar tindakan berkenaan bakal mengganggu pasaran hotel bajet yang rata-ratanya menawarkan harga di bawah RM100 semalam.
Beliau berkata, tawaran separuh harga sebenarnya bukan berniat ‘mencuri’ pelanggan, sebaliknya dilakukan bagi menampung kos operasi termasuk membayar gaji pekerja.
“Hotel lima bintang sudah turunkan harga ke taraf tiga bintang. Masalahnya yang berlaku hotel-hotel bajet akan tertekan, kalau mereka dapat pelanggan memang tidak dapat tampung kos perniagaan.
“Kos perniagaan tidak berubah tetapi pendapatan semakin berkurangan. Hotel mewah terpaksa lakukan sedemikian untuk bernafas selama mana yang boleh,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Industri perhotelan di Pulau Pinang dilaporkan mula menerima tempias akibat peningkatan kes Covid-19 apabila berlakunya pembatalan tempahan bilik oleh pelanggan ekoran kebimbangan terhadap wabak berkenaan.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Khoo Boon Lim berkata, pihaknya telah menerima makluman berkenaan selepas kes Covid-19 turut dilaporkan di negeri ini awal minggu lalu.
Dalam pada itu, Shaharuddin menambah, industri perhotelan di seluruh negara bakal berdepan situasi lebih buruk ekoran berakhirnya tempoh moratorium pihak bank, September lalu.
“Lepas September pastinya akan lebih teruk kerana duit masing-masing sudah tiada. Pinjaman bank perlu dibayar.
“Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambung sehingga Disember, kebanyakan pengusaha hotel memang dalam keadaan yang tidak baik,” jelasnya. – UTUSAN










