106 kereta mewah disita di Negeri Sembilan

106 kereta mewah disita di Negeri Sembilan

HANIF Yusabra Yusuf (tengah) membuat pemeriksaan terhadap kenderaan mewah yang disita JPJ Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 106 buah kereta mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam penguatkuasaan Op Luxury sepanjang tahun ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesemua kereta mewah yang disita itu melibatkan pengeluaran 318 notis atas pelbagai kesalahan.

Katanya, jumlah sitaan itu merupakan peningkatan sebanyak 80 peratus berbanding tahun lepas.

“Kenderaan yang disita melibatkan pelbagai jenama dan model mewah dengan anggaran harga pasaran bagi sebahagian kenderaan yang disita, khususnya jenama Land Rover, adalah antara RM500,000 hingga RM1.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakkan pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan penguatkuasaan berusia antara 35 hingga 55 tahun dengan majoritinya terdiri daripada ahli perniagaan, eksekutif jualan serta kontraktor.

Katanya, kesalahan paling tinggi dikesan sepanjang operasi berkenaan adalah melibatkan cukai jalan tamat tempoh dengan tunggakan paling lama mencecah sehingga setahun.

“Antara alasan yang diberikan pemilik adalah mereka terlupa, namun alasan itu sukar diterima memandangkan sistem aplikasi MyJPJ akan menghantar notifikasi sebelum LKM tamat tempoh,” katanya.

Tambahnya, pemilik kenderaan yang ingin menuntut semula kenderaan disita perlu melangsaikan semua saman tertunggak serta memperbaharui insurans dan LKM.

“Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan, kes akan dirujuk ke mahkamah untuk tindakan lucut hak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN