PETALING JAYA: Tiga daripada 25 ‘ulat foto’ atau jurugambar jalanan ditahan polis menerusi operasi khas di Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini semalam dikesan tidak mempunyai rekod identiti dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, ia melalui hasil pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap tiga individu berkenaan melalui pemeriksaan cap jari mereka.
Katanya, mereka dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.
“Tiga daripada 25 individu yang ditahan, semalam dikesan tiada (rekod) identiti di JPN berdasarkan (pemeriksaan) cap jari,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seramai 25 lagi ulat foto ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar KLCC, di sini, malam semalam.
Sazalee dilaporkan berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki Filipina berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun.
Beliau dilaporkan berkata, kesemua individu terbabit direman tiga hari bagi membantu siasatan termasuk semakan oleh JPN membabitkan ketulenan kad pengenalan (MyKad) suspek.- UTUSAN










