KUALA LUMPUR: Kerajaan mengadakan rundingan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat minyak lain bagi memastikan bekalan bahan api negara mencukupi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga bahan api kekal sebagai isu utama dan ia perlu diurus berdasarkan fakta serta kejelasan dengan baik.
Menurut beliau, kerajaan turut mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pasukan ekonomi dan bersetuju untuk melanjutkan langkah-langkah yang perlu bagi melindungi kepentingan rakyat dalam jangka sederhana dan panjang.
“Harga bahan api adalah isu yang dekat di hati saya. Kita perlu menanganinya dengan berhati-hati, berpandukan fakta. Itulah sebabnya kita membuat keputusan mengenai RON95.
“Susulan perbincangan dengan Petronas dan syarikat minyak lain, kita dapat mengawal keadaan untuk tempoh sebulan akan datang atau lebih. Rakyat seharusnya menjadi pihak terakhir yang menanggung beban,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 9 bertajuk ‘Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global’.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April namun mengekalkan harga RM1.99 seliter.
Ia susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, tujuh buah kapal milik Malaysia dengan empat daripadanya sarat membawa muatan minyak mentah yang kini terkandas di Selat Hormuz sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Iran untuk meneruskan pelayaran pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, buat masa ini, kesemua kapal itu yang dinaiki 282 orang anak kapal warganegara Malaysia itu masih lagi menunggu masa sesuai sebelum dapat meneruskan pelayarannya melalui Selat Hormuz.
Dalam pada itu, Anwar menyeru semua pihak supaya mengetepikan politik dan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan ekonomi.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memperkukuh sokongan dasar dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Kebimbangan saya ialah dalam negara demokrasi, sukar untuk mendapatkan semua pihak bersetuju.
“Saya menyeru semua pihak supaya mengetepikan politik dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang boleh meringankan beban ekonomi serta membantu negara mengharungi cabaran semasa,” katanya.-UTUSAN










