Waspada sengatan ubur-ubur di Langkawi

Waspada sengatan ubur-ubur di Langkawi

APM memasang papan tanda amaran mengenai ubur-ubur di Pantai Chenang, Langkawi, Kedah sejak Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Papan tanda amaran mengenai kehadiran ubur-ubur termasuk spesies berbahaya ubur-ubur kotak, dipasang di Pantai Chenang di sini, sejak Khamis lalu susulan cuaca buruk yang melanda.

Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md. Yasin berkata, ribut yang berlaku kebelakangan ini berkemungkinan membawa kumpulan ubur-ubur kotak ke kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya, sehingga Oktober lalu, 22 kes sengatan direkodkan di Langkawi dan insiden terbaharu membabitkan kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Vladimir Lakubanets merupakan satu-satunya kes yang membawa maut.

“Rondaan penyelamat pantai turut dipertingkat dan hebahan berkala akan dilakukan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pengunjung dinasihati ber­hati-hati berikutan perubahan cuaca boleh meningkatkan risiko kemunculan hidupan laut berbahaya itu,” katanya.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) memasang papan tanda itu bagi mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika beriadah di pantai.

Sabtu lalu, percutian sebuah keluarga warga Russia bertukar tragedi apabila Lakubanets maut kerana disengat ubur-ubur ketika bermain air di pantai.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah pada pukul 9.46 pagi kelmarin selepas dirawat sejak 16 November lalu.

Tahun lalu, menara penyelamat Pantai Chenang merekodkan 47 kes sengatan, namun tiada satupun membabitkan spesies ubur-ubur kotak.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Chenang mendapati, ia masih dipenuhi pengunjung walaupun cuaca mendung. Beberapa pelancong dilihat asyik mandi-manda tanpa mempedulikan risiko sengatan.

Penduduk, Shafiq Othman, 28, berkata, ubur-ubur lebih banyak ditemui di Pantai Tanjung Rhu.

“Kalau di Tanjung Rhu, memang penduduk tempatan ja­rang mandi kerana banyak ubur-ubur tetapi di Chenang bia­sanya hanya jenis biasa muncul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN