KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan mengumumkan senarai rasmi calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 melalui majlis penyerahan watikah pelantikan pada 12 November (Rabu) ini, iaitu tiga hari sebelum hari penamaan calon.
Pengarah Pilihan Raya Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, majlis akan diadakan di Ibu Pejabat Warisan di Borneo Sports Arena (BSA), Kelombong pada pukul 10 pagi.
Katanya, parti sudah memuktamadkan senarai calon bagi semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada PRN kali ini.
“Warisan akan bertanding di semua kerusi DUN dan majlis penyerahan watikah akan disempurnakan pada 12 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Warisan yang dipimpin bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memilih untuk bertanding secara solo dalam PRN kali ini.
Sebelum pembubaran pada 6 Oktober lalu, Warisan memiliki 14 kerusi di DUN Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga dijangka mengumumkan senarai calon pada tarikh sama, menjadikan 12 November sebagai hari penting dalam percaturan politik menjelang PRN Sabah. – UTUSAN










