Warisan jangan pura-pura suci isu lompat parti - Armizan

Warisan jangan pura-pura suci isu lompat parti – Armizan

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan tuduhan dilemparkan Warisan yang melabel gabungan itu sebagai ‘parti lompat’, sedangkan sejarah politik negeri jelas menunjukkan parti berkenaan turut mendapat kuasa hasil tindakan sama pada 2018.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tuduhan yang dilemparkan sangat tidak berasas dan mencerminkan sikap hipokrasi politik kerana sejarah politik Sabah sendiri pernah menyaksikan tindakan sama dilakukan oleh kepimpinan Warisan.

“Sekian lama naratif dijaja GRS ini parti orang lompat. Persoalannya, sucikah mereka yang bercakap itu dan partinya daripada isu lompat?

“Paling tragis apabila wakil rakyat melompat menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang tanpa proses pilihan raya, seperti yang berlaku pada 2018. Ketua Menteri ketika itu tidak meletak jawatan, tetapi muncul Ketua Menteri baharu selepas partinya menerima wakil rakyat yang melompat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pihak yang menerima dan menggalakkan tindakan lompat parti juga harus bertanggungjawab, bukan hanya mereka yang beralih sokongan.

Katanya, ironi apabila kerajaan yang mendapat kuasa melalui tindakan sedemikian pernah menolak cadangan untuk menggubal undang-undang anti lompat dengan alasan ia bertentangan dengan asas demokrasi.

“Hakikatnya, bukan sekadar yang melompat, parti yang memujuk dan menerima wakil rakyat melompat juga perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkenalkan undang-undang larangan lompat parti di Sabah pada 2023 dibawa sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan GRS sekali gus membuktikan komitmen gabungan itu terhadap kestabilan politik.

Mengulas tuduhan kononnya beliau bertanding menggunakan watikah dan logo parti berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Armizan berkata, perkara itu tidak benar dan boleh disemak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Silalah rujuk Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981-Per 11(2), perenggan paling akhir.

“Watikah saya ditandatangani oleh Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dan saya bertanding menggunakan logo GRS. Semuanya dihantar secara rasmi kepada Pegawai Pengurus (RO) pada hari penamaan calon. Jadi, sebelum menuduh, rajin-rajinlah semak dengan SPR. Jangan sebar auta,” katanya.

Tambah beliau, Warisan juga dilihat lebih banyak menyerang GRS meskipun kempen pilihan raya negeri belum bermula.

Armizan turut mempersoal strategi Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang sama ada parti itu akan mengulangi taktik lama dengan memujuk wakil rakyat parti lain menyokong Presidennya sebagai Ketua Menteri.

“Ini musim pilihan raya, kamu sudah lama menyerang walau belum bubar. Bagilah peluang saya pun tumpang menyerang. Inikan pesta demokrasi.

“Tahun 2018, Presiden Warisan jadi Ketua Menteri selepas memujuk wakil rakyat parti lain melompat. Tahun 2025, apakah taktik baharu yang akan digunakan untuk ‘berkuasa semula’? Adakah Warisan akan berkompromi dengan parti yang dulu mereka kecam kononnya tidak memperjuangkan hak negeri?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN