PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa telah disalahgunakan untuk mengheret Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kewujudan akuan bersumpah (SD) bagi menggesa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.
Perkara itu terdedah dalam rakaman sesi perjumpaan Datuk Wan Saiful Wan Jan dengan Lembaga Disiplin Bersatu yang didakwa tidak membincangkan aduan sebenar terhadapnya, sebaliknya usaha mewujudkan persepsi negatif terhadap Timbalan Presiden parti itu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, beliau berkongsi rakaman penuh sesi tersebut yang berlangsung pada 8 Oktober 2025 di ibu pejabat parti sebagai bukti Lembaga Disiplin digunakan untuk menyasarkan kepimpinan Hamzah.
“Aduan sebenar terhadap saya langsung tidak dibincangkan dengan betul, tetapi Lembaga Disiplin lebih banyak cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Timbalan Presiden parti (Hamzah).
“Sikap berat sebelah yang ditunjukkan melambangkan betapa ahli-ahli Lembaga Disiplin perlu dirombak semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu itu berkata, pendedahan rakaman itu dibuat selepas terdapat pihak menuntut supaya dakwaan beliau dibuktikan.
Beliau turut mempertikai keputusan memecatnya yang dikeluarkan pada 13 Oktober 2025 sedangkan panel memberikan tempoh sehingga 15 Oktober 2025 untuk beliau mengemukakan maklum balas lanjut ketika sesi tersebut.
“Ini menimbulkan persoalan adakah Lembaga Disiplin diarahkan untuk mengubah keputusan mereka untuk memenuhi agenda individu tertentu?” soalnya.
Wan Saiful berkata, dalam rakaman itu, sesi bermula dengan beliau bertanyakan sama ada perbincangan boleh dirakam dan panel memberi kebenaran dengan jawapan “boleh, tiada masalah”.
Beliau berkata, aduan terhadapnya kemudian dibacakan dan disahkan dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan seorang lagi pemimpin parti.
Katanya, beliau membawa dokumen untuk membela diri, namun membantah penglibatan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohammed Radzi Manan dan anggota panel Sasha Lyna Abdul Latif kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan.
Namun bantahan itu ditolak atas alasan jika dua panel menarik diri, kuorum tidak mencukupi dan lantikan mereka masih sah, katanya.
Dalam rakaman sama, katanya, Mohammed Radzi menjelaskan, proses Lembaga Disiplin tidak mengikut model perundangan atau mahkamah dan panel boleh mendapatkan maklumat termasuk daripada kedai kopi dan telefon.
“Mohammed Radzi juga menyatakan proses perlu dipercepatkan bagi mengelak kritikan tidak menjalankan tugas dan mula bertanya siapa “master” di belakang inisiatif yang dijalankan dan menuduh “you must have your master”, namun saya menafikan dakwaan tersebut.
“Apabila saya bertanya kembali sama ada Lembaga Disiplin turut mempunyai “master”, Mohammed Radzi menjawab bahawa beliau menghormati Presiden parti dan perlu melaksanakan tugas dengan segera,” kata Wan Saiful.
Wan Saiful mendakwa, rakaman tersebut juga menunjukkan beliau memberitahu bahawa beliau pernah menghantar laporan disiplin dua tahun lalu, namun masih belum diproses sehingga kini.
Beliau mendakwa, dalam sesi itu Mohammed Radzi menjadi emosi sehingga menyatakan “mesti ada seseorang arahkan kamu… siapa yang betul-betul rosakkan kamu, kamu dah rosak”, selain menuding ke telefon yang digunakan untuk merakam sesi perjumpaan tersebut dan berkata “I want to get a message to him” (merujuk kepada individu yang didakwa di belakang semua perkara).
“Paling ketara adalah apabila Mohammed Radzi mengaitkan Hamzah secara langsung serta menyatakan beliau menghubungi Hamzah untuk bertanya mengenai dakwaan hubungan politik dengan Pas serta menyentuh mengenai dakwaan hasrat Hamzah menjadi Perdana Menteri.
“Saya (Wan Saiful) membantah pengaitan (perkara mengenai Hamzah) itu kerana pertuduhan tersebut mengenai saya tetapi Mohammed Radzi menjawab bahawa memang beliau mahu mengaitkan dengan Hamzah kerana mahu tahu siapa perlu bertanggungjawab,” dakwanya.
Tambah beliau, sesi rakaman itu berakhir apabila Mohammed Radzi memberikan tempoh sehingga 15 Oktober 2025 tetapi beliau menegaskan tarikh itu bukan bidang kuasanya kerana ia melibatkan proses pelantikan panel baharu.
Rakaman turut menunjukkan Mohammed Radzi menyebut, jika tiada penjelasan mengenai hubungan Pas, maka Hamzah “committing a cardinal sin” sebelum menyentuh mengenai tindakan Hamzah memeluk Tan Sri Muhyiddin sebelum ini.
Wan Saiful mendakwa, keseluruhan kandungan rakaman membuktikan prosiding disiplin tidak dijalankan secara adil, malah menunjukkan unsur tekanan terhadap dirinya dan cubaan mengaitkan isu peribadi dengan kepimpinan Hamzah.
Sebelum ini, Bersatu bertindak memecat keahlian Wan Saiful susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
Dalam tindakan berasingan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Selain Wan Saiful, empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd. Azrudin Md. Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd. Faizal Asmar (Pengerang), Mohd. Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd. Isa Mohd. Saidi dari Bahagian Ampang. – UTUSAN










