PORT DICKSON: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memaklumkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti itu.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, surat itu telah diterimanya pada 28 Februari lalu dan tempoh menjawab surat berkenaan berakhir hari ini.
“Hari ini (Jumaat) mungkin hari terakhir saya bercakap sebagai Naib Presiden kerana enam hari lalu saya sudah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti yang meminta saya memberi penjelasan, dengan tempohnya berakhir esok.
“Sama ada saya jawab atau tidak, saya pasti tindakan akan tetap diambil dan saya percaya ia bertujuan menyingkirkan kami daripada menyokong Hamzah Zainuddin,” katanya ketika berucap pada Majlis Moreh Perdana di Port Dickson malam semalam.
Ronald memberitahu, surat itu antara lain adalah berkaitan tindakannya menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 ahli Parlimen Bersatu terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mengesahkan perkara sama namun memaklumkan tidak berhasrat untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut.
“Esok (hari ini) adalah tarikh akhir untuk saya menjawab surat itu. Namun setakat ini saya tidak berhajat untuk menjawabnya. Kita tengoklah macam mana nanti,” katanya. – UTUSAN










