TAMPARULI: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tamparuli menyokong keputusan parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) demi mengembalikan maruah dan autonomi politik Sabah.
Ketua Pemuda UPKO Tamparuli, Maxolvin Sintore Gabu berkata, tindakan itu penting kerana UPKO tidak pernah dihormati sepenuhnya sepanjang bersama dalam gabungan tersebut, walaupun Presidennya, Datuk Ewon Benedick dilantik secara sah sebagai Pengerusi PH Sabah.
“Pelantikan itu ditolak secara terbuka oleh PKR, sekali gus membuktikan PH Sabah tidak mempunyai autonomi sebenar dalam membuat keputusan politik di peringkat negeri. Segala proses rundingan kepimpinan dan pembahagian kerusi masih dikawal pihak pusat. Ini bertentangan dengan semangat sebenar Sabah First,” katanya.
Beliau mendakwa kecewa terhadap kerajaan Persekutuan yang tidak menunjukkan kesungguhan dalam menunaikan tuntutan pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, perkara berkenaan bukan sekadar janji politik, tetapi hak rakyat Sabah yang wajib dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, UPKO sedia bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), namun kekal terbuka bekerjasama dengan parti tempatan lain yang berkongsi semangat Sabah First dan mengutamakan kepentingan negeri melebihi politik pusat.
“Pemuda UPKO Tamparuli sebulat suara menyokong Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau untuk terus memimpin perjuangan rakyat Tamparuli. Kepimpinan beliau terbukti berkesan memperjuangkan isu pembangunan dan membela suara rakyat di peringkat negeri serta persekutuan,” katanya.
Semalam, UPKO mengumumkan pengunduran rasmi daripada PH selepas empat tahun bersama. Setiausaha Agungnya, Datuk Nelson W. Angang berkata, keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan semua parti komponen gabungan tersebut. – UTUSAN









