KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bermula esok.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen UPKO untuk menampilkan kepimpinan berwibawa serta barisan calon berprinsip yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat Sabah.
“Kami akan bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi kerana kami mahu menawarkan kepimpinan kami kepada rakyat Sabah.
“Calon-calon kami terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti peniaga kecil, penjawat awam, usahawan, profesional muda dan pemimpin masyarakat, semuanya disatukan oleh prinsip serta tekad yang sama untuk berkhidmat,” katanya dalam pelancaran Jelajah Sabah First di Kampung Madsiang, Penampang semalam.
UPKO sepatutnya bersama Pakatan Harapan (PH) menyertai PRN Sabah, namun mereka bertindak keluar daripada gabungan itu ekoran pendirian hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.
PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah sebelum ini dikatakan bertanding 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun setakat ini hanya PKR dan DAP yang mengesahkan calon bakal bertanding.
PH bersama Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi PRN Sabah.-UTUSAN










