PETALING JAYA: Walaupun slot tayangan semakin berkurangan, pengarah dan penerbit filem Macai, Sun-J Perumal enggan berputus asa, sebaliknya menggesa penonton hadir menyokong naskhah terbaharunya itu di pawagam hari ini.
Menurut Sun-J, sebuah filem bukan sekadar medium penyampaian mesej, tetapi turut menawarkan pengalaman peribadi yang hanya dapat dirasai sepenuhnya di layar perak.
“Saya berharap Macai mampu bertahan lebih lama di pawagam. Filem ini dihasilkan khusus untuk tatapan skrin besar. Sebagai pembikin, saya tidak mahu bercakap mengenai mesej kerana dalam era media sosial, semua orang ada hak dan kapasiti menyampaikan mesej masing-masing.
“Filem berfungsi memberi pengalaman. Jadi saya berharap lebih ramai akan pergi menonton Macai dan tidak menunggu tayangan di platform penstriman. Percayalah, pengalaman menonton di pawagam jauh lebih berbeza.
“Saya mahu membawa penonton keluar daripada dunia yang mereka kenal kepada zon yang mereka tidak tahu. Sebab itu penting untuk menonton Macai di pawagam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sun-J turut berharap penonton memberi peluang kepada filem berbelanja RM1 juta itu walaupun ada segelintir yang kecewa dengan mutu atau jalan cerita beberapa filem tempatan sebelum ini.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan ada beberapa filem tempatan yang tidak mencapai tahap diingini dan sering mengulang jenis jalan cerita tertentu, semua karya tempatan terus dihukum begitu.
“Saya berharap orang ramai akan menonton Macai dan filem ini mampu bertahan sehingga tayangan filem ketiga saya, Blues, pada 4 Disember nanti,” ujarnya.
Macai dan Blues merupakan karya dalam ‘multiuniverse’ Jagat, iaitu filem pertama Sun-J Perumal yang diterbitkan pada 2015.
Terdahulu, Jagat mencetus fenomena sehingga dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28, sekali gus mengangkat Sun-J sebagai Pengarah Harapan pada acara sama.
Selepas sedekad, Sun-J kembali dengan Macai yang mula ditayangkan pada 13 November lalu, sebelum disusuli Blues pada 4 Disember ini.
Macai mengisahkan seorang pengedar dadah yang terdesak membayar hutang RM30,000 kepada kartel selepas kehilangan barang berharga miliknya.
Sebelum tayangan umum, Macai terlebih dahulu dipilih ke beberapa festival filem antarabangsa termasuk di Rotterdam, Jepun, Vietnam dan India. – UTUSAN










