NARATHIWAT (THAILAND): Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat (MAIWN) tidak akan mengeluarkan sijil nikah kepada pasangan rakyat Malaysia yang masih di bawah umur yang bernikah di sini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Shafie Ibrahim berkata, sijil nikah hanya dikeluarkan apabila pasangan berkenaan berusia 18 tahun.
“Memang ada pasangan dari Malaysia berumur di bawah 16 tahun datang bernikah di tiga pejabat agama Islam di bawah pentadbiran kami.
“Kami menikahkan mereka dengan mengenakan syarat ketat termasuk mesti dengan kehadiran dan persetujuan ibu bapa masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Shafie berkata, pihaknya melantik 30 jurunikah yang menikahkan semua pasangan negara asing di pejabat agama Islam Daerah Narathiwat, Sungai Golok dan Pekan Rueso.
Utusan Malaysia 10 November lalu melaporkan, Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan terdapat pasangan rakyat Malaysia yang di bawah umur bernikah di negara ini khususnya melibatkan kawasan Selatan Thai iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala.
Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, perkara tersebut dikesan selepas pasangan itu tampil ke pejabat untuk mendaftar dan memohon pengesahan perkahwinan.
Kebanyakan pernikahan bawah umur itu melibatkan pasangan pengantin perempuan berusia 14, 15 dan 16 tahun. – UTUSAN










