KUALA LUMPUR – Masa depan sektor pertanian kini bergantung kepada kebijaksanaan penggunaan teknologi yang menjadi tunjang utama dalam memastikan industri makanan global kekal mampan, produktif dan berdaya saing.
Ketua Jabatan Teknologi Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. GS Dr. Siva K. Balasundram berkata, pertanian tepat bukan konsep rumit seperti yang dipercayai ramai.
“Pertanian tepat bermaksud gunakan apa yang perlu, pada tempat yang sepatutnya, pada masa yang betul termasuk asas kaedah yang kini menjadi fokus utama penyelidik dan pengurus ladang.
“Tanah tidak seragam. Jadi mengapa pengurusan ladang perlu seragam?” soalnya. Tetapi melalui teknologi geo-spatial, pengurus ladang kini dapat mengenal pasti kawasan yang subur, padat, mudah hilang air atau berisiko penyakit.
“Malah teknologi juga mempunyai keupayaan merancang aplikasi baja dan penanaman semula secara lebih tepat,” ujarnya ketika sesi pembentangan di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia di sini.
Dalam pada masa sama, Prof. Siva juga menolak persepsi bahawa Kecerdasan Buatan (AI) akan menggantikan pekerja manusia sebaliknya membantu mengubah cara kerja di lapangan.
“AI bukan pesaing manusia. Ia membantu kerja yang bahaya, berat dan memerlukan ketepatan tinggi, sementara manusia memberi tumpuan kepada keputusan strategik.
“Automasi hari ini digunakan untuk memantau nutrien tanaman, mengesan penyakit awal serta meramal hasil secara tepat.
“Malah, dron kini menjadi antara alat paling penting dalam pemantauan ladang moden. Dron bukan lagi sekadar merakam gambar, sebaliknya mengukur kesuburan tanah, menentukan tahap kemasakan buah dan mengesan tekanan tanaman.
“Ketepatan ini mengurangkan pembaziran input dan mempercepatkan tindakan di lapangan,” katanya.
Dalam isu kelestarian pula, Prof. Siva berkata, pertanian tepat mampu menurunkan jejak karbon industri antaranya pokok sawit yang merupakan antara penyerap karbon paling efisien di dunia.
“Tetapi manfaat ini hanya optimum jika ladang diurus dengan tepat. Penjimatan input bermaksud tekanan yang lebih rendah kepada tanah dan hutan.”
“Kita mempunyai tenaga pakar yang berkemampuan dan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.
“Pertanian moden bergantung pada kebijaksanaan, bukan intensiti. Pertanian tepat ialah masa depan kita dan Malaysia bersedia memimpin,” kongsinya.-UTUSAN










