SEPANG: Cubaan empat individu menyeludup dadah jenis bunga ganja bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom gagal selepas dikesan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lalu.
Kejayaan itu sekali fus membongkar modus operandi sindiket menggunakan keldai dadah bagi menyeludup 68 bungkus bersamaan 86 kilogram dadah.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua suspek terdiri daripada dua pasangan kekasih yang bergerak dari Johor ke Pulau Pinang sebelum mereka mendaftar masuk untuk penerbangan ke Manchester dengan transit di Singapura.
Katanya, kedua-dua pasangan itu telah diarahkan untuk mengambil beg yang ditinggalkan di lapangan terbang dan membawanya ke destinasi tertentu yang dipercayai ke Manchester.
“Bagaimanapun, dua daripada mereka enggan menaiki pesawat kerana mahu penerbangan terus ke Manchester berbanding transit di Singapura.
“Jadi, mereka meminta beg yang telah didaftar masuk (check-in) dikeluarkan semula. Pihak penerbangan kemudian memanggil pegawai AKPS untuk membuat siasatan awal dan mengiringi mereka mengambil bagasi tersebut.
“Hasil itu membawa kepada pegawai AKPS menemui bahan terlarang disyaki dadah ganja di dalam beg berkenaan, sebelum menahan dua lagi suspek di ruang pelepasan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Belia berkata, hasil siasatan awal mendapati keempat-empat individu itu telah menerima tawaran kerja menerusi aplikasi TikTok yang menawarkan kerja untuk membawa barang sambil melancong berserta bayaran upah berjumlah sekitar RM8,000 hingga RM11,000.
“Sindiket ini menjanjikan peluang melancong sambil bekerja, tetapi sebenarnya memperdaya mangsa menjadi pembawa dadah. Ini satu amaran kepada anak muda supaya jangan mudah percaya dengan tawaran sebegitu,” katanya.
Dalam pada itu, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).-UTUSAN









