Suasana hiba keluarga tuntut mayat mangsa letupan kapal kontena

Suasana hiba keluarga tuntut mayat mangsa letupan kapal kontena

RAKAN sekerja mendiang K. Sugumaran menunggu proses bedah siasat selesai di Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor , semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai tiga individu termasuk seorang pakar kebakaran warga Britain maut dalam insiden letupan di atas kapal kontena Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu letupan di atas kapal Kyparissia berdaftar di Malta telah meragut nyawa tiga individu iaitu warga Malaysia bekerja sebagai Juruukur Kapal, K. Sugumaran, 59, seorang pakar kebakaran warga Britain, Darren Holling, 49 dan kru kapal warga Filipina, Diaday Jason Hernia, 38.

Tiga lagi individu dilaporkan cedera dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.

Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah kontena di kapal berkenaan yang sedang dalam pelayaran dari PTP me­nuju ke Lome, Togo sebelum berpatah balik ke dermaga empat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Pihak berkuasa maritim ma­sih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menggemparkan industri perkapalan antarabangsa itu.

Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam apabila ahli keluarga hadir menuntut mayat mendiang Sugumaran, 59, yang maut dalam insiden itu.

Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Forensik HSA termasuk untuk menemu bual ahli keluarga mendiang dan hanya mengambil gambar di luar pagar jabatan berkenaan.

Sementara itu, suasana sama juga dirasakan di kediaman keluarga mendiang di Bandar Seri Alam, Masai di sini.

Anak perempuan tunggal mendiang yang berusia 26 tahun ketika ditemui juga enggan ditemu bual kerana terkejut dengan tragedi yang menimpa bapanya.

Difahamkan, jasad mendiang akan dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, petang esok untuk upacara pembakaran mayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×