Hospital dipenuhi mayat akibat gelombang haba - Utusan Malaysia

Hospital dipenuhi mayat akibat gelombang haba

HOSPITAL dipenuhi mayat ketika gelombang haba melanda Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis pada Isnin mula mengira jumlah kematian berkaitan gelombang haba, ketika seorang wakil industri perkhidmatan pengebumian berkata, rumah mayat di Paris dibebani peningkatan mendadak jumlah kematian susulan gelombang haba yang memecahkan rekod.

Kerajaan mempertahankan tindak balasnya terhadap gelombang haba itu yang mula reda pada Ahad selepas beberapa hari suhu melampau menjejaskan kehidupan harian dan memaksa banyak sekolah serta tarikan pelancongan utama ditutup.

Hanya sebilangan kecil kediaman di Perancis dilengkapi penyaman udara, manakala kebanyakan sekolah pula tidak direka bentuk untuk menghadapi cuaca panas melampau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Persekutuan Pengebumian Kebangsaan, Elisabeth Charrier berkata, kadar penggunaan rumah mayat yang lazimnya antara 30 hingga 45 peratus pada musim panas kini meningkat melebihi 66 peratus di seluruh negara.

Di beberapa lokasi, rumah mayat telah mencapai kapasiti maksimum, khususnya di kawasan bandar, katanya.

Sementara itu, selang beberapa minit, telefon bimbit pemilik sebuah pusat pengurusan mayat di sini akan berdering tanpa henti. 

Sejak gelombang haba ekstrem yang memecahkan rekod mula meragut nyawa dan menyebabkan ruang simpanan mayat di Paris dan kawasan sekitarnya lumpuh, seorang pemilik rumah mayat, Zouhaeir Hertelli terpaksa menolak permintaan daripada keluarga mangsa gelombang haba.

“Kami sedang berdepan dengan situasi yang amat dahsyat. Saya menerima beratus-ratus panggilan telefon,” katanya di mana rumah mayatnya mempunyai 32 ruang.

Menurut agensi Kesihatan Awam Perancis, terdapat lebih 1,200 kematian direkodkan pada Rabu minggu lalu, iaitu hari paling panas yang pernah dicatatkan dalam sejarah Perancis, sekali gus memecahkan rekod yang baharu sahaja dicatat pada hari sebelumnya.

Jumlah kematian kemudian meningkat kepada lebih 1,400 kes pada  Khamis dan tambahan 1,400 kes lagi pada Jumaat. 

Sebagai perbandingan, kadar kematian sebelum gelombang haba melanda pada April dan Mei adalah sekitar 900 hingga 1,000 kes sehari. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini