PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima purata 150 maklumat dan aduan berkaitan rasuah setiap hari melalui pelbagai saluran termasuk portal aduan, aplikasi mudah alih MACC Mobile, surat rasmi, emel, panggilan telefon dan secara terus daripada pemberi maklumat.
Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM, Norkhafizin Isa, berkata semua aduan dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah sektor operasi SPRM dan ditapis sebelum disiasat.
Katanya, bukan semua maklumat boleh terus disiasat sebaliknya proses bermula di BPRM menggunakan Sistem Pengurusan Aduan (Complaints Management System-CMS) bagi menilai tahap kesahihannya sebelum di bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).
Jelasnya, setiap maklumat yang diterima JMM akan melalui proses penelitian terperinci bagi memastikan ia mempunyai asas kukuh dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil.
“Sekiranya maklumat yang diperoleh mempunyai asas serta disertakan bukti sokongan yang membolehkan siasatan terbuka dijalankan, ia akan dirujuk kepada Bahagian Siasatan SPRM atau SPRM negeri.
“Namun, jika maklumat tersebut mempunyai asas tetapi memerlukan bukti tambahan atau melibatkan isu tatakelola, ia akan diserahkan kepada lain-lain bahagian SPRM seperti Bahagian Perisikan dan Bahagian Penyiasatan Tatakelola untuk dikembangkan atau `develop’ maklumat berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, jika maklumat yang disalurkan tidak mempunyai asas jenayah rasuah atau salah laku, tetapi melibatkan isu seperti tadbir urus ia akan dirujuk kepada jabatan berkaitan untuk tindakan dalaman.
“Pada masa ini, hampir setiap jabatan atau agensi kerajaan serta swasta sudah mempunyai Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) atau Unit Integriti, jadi maklumat yang diterima akan dirujuk kepada mereka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Norkhafizan berkata, BPRM turut berperanan penting melindungi sistem maklumat SPRM daripada diceroboh atau disabotaj, terutama perincian berkaitan aduan dan maklumat yang diterima.
Katanya, secara purata terdapat kira-kira 80,000 hingga 90,000 percubaan pencerobohan (sistem maklumat SPRM) setiap hari yang mana satu kebocoran maklumat mampu menggagalkan siasatan, menjejaskan keyakinan saksi dan masyarakat malah mengancam keselamatan negara.
“Oleh itu, disiplin, pematuhan terhadap arahan keselamatan dan kecekapan teknologi menjadi asas yang memastikan integriti Suruhanjaya terus terpelihara.
“Dalam usaha melindungi maklumat, BPRM tidak hanya bergantung pada perisian keselamatan tetapi turut membangunkan ekosistem pertahanan, seperti Multi-Factor Authentication (MFA), Firewall berkapasiti tinggi, pemantauan masa nyata, sistem enkripsi dan ujian penembusan,” katanya. – UTUSAN










