“MEREKA sangka itu semua dirancang, sedangkan tidak sama sekali.”
Demikian kata penyanyi, Afgan, semasa mengimbau momen bahagia berkongsi pentas bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di atas panggung Pesta Pora, iaitu antara festival muzik terbesar di Indonesia.
Tersenyum girang menceritakan detik itu, Afgan atau Afgansyah Reza, 36, pada awalnya diundang untuk bernyanyi bersama rakan selebriti, Raisa satu jam sebelum giliran Siti Nurhaliza. Selepas menyemak jadual persembahan, Afgan teruja selepas mengetahui Siti bakal bernyanyi di pentas yang sama.
“Saya memang mahu tonton persembahannya di depan pentas. Tapi sebelum itu saya sempat ke belakang pentas, menyapanya, salam dan mengucapkan semoga berjaya.
“Ingat lagi saya juga cakap ‘Kak Siti, nanti saya tonton ya persembahan kakak’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Afgan tidak menyangka, penyanyi Biarlah Rahsia itu mengajaknya naik ke pantas dan bernyanyi bersama. Ketika itu Afgan sangat berbesar hati kerana seorang Siti Nurhaliza mahu berkongsi momen persembahan yang menurutnya begitu hebat.
“Persembahan Kak Siti sangat menakjubkan, bagaimana beliau menggabungkan unsur pop dan tradisional dalam persembahannya.
“Tiba-tiba, dia datang ke arah saya dan tanya jika saya mahu bernyanyi bersama. Katanya, kami ada lagu dengan judul yang sama iaitu Bukan Cinta Biasa. Saya terus naik ke atas pentas selepas diajak.
“Kebetulan sebelum ini saya pernah nyanyikan lagu Kak Siti semasa konsert saya di Pulau Pinang. Saya ingat lagi penonton semua bersorak dan semua orang menari. Memang gila. Begitu seronok sekali,” katanya.
Video Afgan bersama Siti Nurhaliza itu tidak hanya tular di Malaysia, tetapi juga di Indonesia sehingga ramai yang terkejut Afgan merupakan peminat tegar Siti Nurhaliza.
”Siapalah yang tidak meminati Siti Nurhaliza. Bakatnya menakjubkan. Cuma jika ada peminat yang mahukan projek kami bersama, jujurnya belum ada perancangan ke arah itu,” tambahnya.
ERA BAHARU MUZIK AFGAN
Dalam perkembangan lain, Afgan tampil dengan album 10 lagu terbaharu, Retrospektif yang bukan sahaja kesemua lagu berbahasa Indonesia malah muziknya dipersembahkan dengan iringan band. Sudah pasti ini sesuatu yang berbeza dengan gaya Afgan yang sebati dengan muzik piano dan orkestra.
“Saya boleh katakan album ini adalah era gitar Afgan. Sisi lebih maskulin,” katanya.
Bagi menyudahkan album ini, Afgan berkampung dua minggu di Ubud, Bali bagi proses menulis dan merakam lagu.
“Saya tidaklah sampai menangis, cuma memang proses rakaman lagu ini sangat memenatkan emosi,” katanya.-UTUSAN










