PETALING JAYA: Hantaran Facebook Datuk Ewon Benedick mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menerusi hantaran tersebut, beliau merakamkan penghargaan kerjasama yang diberikan oleh semua warga serta agensi-agensi sepanjang tiga tahun memimpin kementerian itu.
“Saya hargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Setiausaha dan semua warga KUSKOP serta agensi-agensi KUSKOP sepanjang tiga tahun memimpin kementerian ini.
“Semoga semuanya diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara kita,” katanya dalam Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian semalam.
Bagaimanapun Utusan Malaysia sedang mendapatkan maklum balas Ewon berhubung perkara itu.
Ewon sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sedia melepaskan jawatan menteri jika Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara semalam memaklumkan akan meneliti secara alasan penghakiman tersebut dan mempertimbangkan semua aspek perundangan yang berkaitan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.-UTUSAN










