PAPAR: Tidak adil untuk menyalahkan Parti Warisan (Warisan) yang menjadi punca kegagalan di Sabah yang berdepan tiga isu utama iaitu jalan raya, air dan elektrik.
Itu ketegasan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang berkata, kegagalan berpanjangan melibatkan projek-projek Persekutuan itu tidak harus dilemparkan kepadanya, sedangkan ia merentasi Persekutuan di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri.
Katanya, tuduhan bahawa semua krisis yang berpunca daripada pentadbirannya adalah helah politik semata-mata yang dilemparkan pihak lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tiada air, tiada Pan Borneo, salah sayakah? Lima Perdana Menteri projek ini berjalan. Dari Datuk Seri Najib Tun Razak, salah saya? Dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad salah saya? Dari zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin punya pentadbiran, salah saya juga? Dari pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, salah saya?
“Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Salah saya kah? Saya bahaskan di Parlimen, masa lima Perdana Menteri, semua salah saya?” soalnya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas kempen politik sesetengah pihak yang mendakwa segala masalah yang berlaku di Sabah berpunca ketika Warisan menjadi kerajaan pada 2018.
Mohd. Shafie berkata, tindakan pihak terlibat melemparkan segala tuduhan itu kerana mereka sudah ketandusan isu dan sanggup mengaitkan segala permasalahan di Sabah berpunca ketika Warisan menjadi kerajaan negeri.
“Tidak ada air sebab saya Menteri Luar Bandar? Sekarang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukan salah dia pula? Timbalan Perdana Menteri lagi, betul tak?
“Inilah ketidaktentuan dalam gelanggang politik sehingga mereka boleh menyatakan sesuka hati bahawa ini salah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, Warisan yakin membentuk kerajaan selepas PRN Sabah tanpa memerlukan rakan kerjasama kerana mampu majoriti mudah atau 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN










