KALABAKAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi sedia menggalas tanggungjawab bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah bagi memenangi kerusi itu.
Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, tujuannya adalah untuk membawa hasrat parti, kepimpinan, dan terutama sekali aspirasi rakyat Merotai agar agenda pembangunan, peluang ekonomi dan kemudahan asas dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan demi masa depan Sabah.
“Alhamdulillah! Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya secara rasmi mengesahkan pencalonan saya sebagai salah seorang calon bagi DUN N72 Merotai.
“Terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR dan PH atas kepercayaan ini. Ini bukan sekadar pencalonan, tetapi amanah besar untuk memastikan PH bersama rakan strategik GRS dan BN dapat membawa pembangunan yang lebih baik ke Merotai.
“Saya mohon sokongan semua pengundi, penyokong dan jentera. Marilah kita bekerja bersama dengan tekad, disiplin dan semangat kekeluargaan demi kemenangan yang membawa manfaat sebenar kepada Merotai dan Sabah. Bersama kita jayakan masa depan Merotai yang lebih maju, inklusif dan sejahtera,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, Ruji berdepan saingan empat penjuru bagi perebutan kerusi DUN Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, 29 November ini.
Beliau yang mewakili PH berdepan penyandang kerusi berkenaan, Sarifuddin Hata yang mewakili Parti Warisan selain Hasan Haris mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Impian Sabah (PIS), Rhyme Kassim.










