Risiko banjir di Kota Setar, Padang Terap

Risiko banjir di Kota Setar, Padang Terap

KEADAAN sebahagian rumah penduduk yang ditenggelami air dalam kejadian banjir di Kampung Malau, Jitra di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menjangkakan kemungkinan banjir di Kota Setar dan Padang Terap susulan beberapa sungai mencatatkan kenaikan paras air secara mendadak.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, situasi itu meletakkan kedua-dua daerah berkenaan dalam zon berjaga-jaga sepanjang minggu ini.

Menurut beliau, aliran sungai dari Kubang Pasu telah melepasi paras bahaya dan dijangka memasuki sungai di Kota Setar, menjadikan bandar raya itu terdedah kepada limpahan air jika hujan lebat berterusan.

“APM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk memastikan penduduk dimaklumkan bila mereka perlu dipindahkan dan kita harap mereka mematuhi arahan.

“Antara cabaran yang dihadapi adalah jika paras air meningkat dan penduduk enggan berpindah, kita terpaksa mengambil risiko untuk menyelamat,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, 10 sungai kini berada pada paras bahaya termasuk Sungai Bata dan Sungai Laka (Kubang Pasu), Sungai Perik dan Sungai Sari (Padang Terap), Sungai Titi Kerbau (Pendang) serta Sungai Anak Bukit (Kota Setar).

Sementara itu, Mohd. Bukhori berkata, beberapa anggota penyelamat turut berdepan masalah kerana rumah mereka sendiri terjejas banjir.

“Bagaimanapun, semua aset dan anggota kini berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya sehingga berakhirnya Monsun Timur Laut termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan pasukan pemantau darat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN