GEORGE TOWN : Pulau Pinang mencadangkan agar sebuah suruhanjaya khas ditubuhkan bagi mengkaji model perkongsian melibatkan hasil cukai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan itu dibuat bukan demi kepentingan Pulau Pinang semata-mata, tetapi juga bagi memperkukuh kedudukan fiskal semua negeri di Malaysia agar lebih seimbang dan mampan.
Katanya, isu pulangan hasil cukai telah berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat melalui soalan lisan, perbahasan serta kenyataan media, namun, ia masih memerlukan reformasi menyeluruh di peringkat Persekutuan.
“Sehubungan itu, Pulau Pinang mencadangkan agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya khas bagi mengkaji cadangan ini yang bukan hanya untuk Pulau Pinang, tetapi juga untuk manfaat semua negeri di Malaysia,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow (PH-Padang Kota) menjawab soalan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) mengenai perkembangan tuntutan 20 peratus daripada sumber hasil cukai yang dikutip dari Pulau Pinang ketika ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada sesi Dewan Rakyat 25 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan ada memaklumkan bahawa cadangan semakan semula itu akan diteliti di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Selain itu iaitu pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 pada 15 Oktober, Pulau Pinang telah menegaskan akan keperluan untuk mewujudkan perjanjian yang lebih telus dan kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri berhubung perkongsian hasil cukai.
“Namun, Memorandum Cadangan Semakan Model Perkongsian Hasil yang dikemukakan Pulau Pinang untuk dibentangkan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-147 pada 7 Oktober lalu tidak diterima untuk pertimbangan,” katanya.-UTUSAN










