Projek terowong dasar laut tidak pernah dibatalkan - Kon Yeow

Projek terowong dasar laut tidak pernah dibatalkan – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Projek terowong dasar laut Pulau Pinang terus mendapat perhatian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila kerajaan negeri memaklumkan bahawa ia bukan projek terbengkalai sebaliknya masih bergerak aktif melalui fasa penelitian teknikal serta penyempurnaan reka bentuk.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak cadangan awal mengenai projek tersebut dibuat pada 2011, kerajaan negeri tidak pernah mengumumkan sebarang pembatalan terhadap projek di bawah Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) itu.

Beliau berkata, sebaliknya, usaha penyempurnaan reka bentuk dan penelitian teknikal terus dilakukan secara berterusan dan perkembangan terkini projek turut dibentangkan oleh syarikat berkaitan dalam Mesyuarat Exco minggu lalu bagi meneliti langkah terbaik menyelesaikan beberapa isu teknikal yang masih berbangkit.

“Antara isu utama yang sedang diperhalusi termasuk keperluan memastikan cadangan pembinaan jambatan pengganti tidak menjejaskan operasi Pelabuhan Pulau Pinang serta faktor ketinggian struktur berikutan kedudukannya yang berhampiran Pangkalan Udara TUDM Butterworth.

“Semua isu teknikal ini masih dalam peringkat untuk diperhalusi. Mengikut perjanjian, kerja-kerja kajian juga belum selesai dan mereka tidak akan meneruskan sehingga semua pihak berpuas hati dengan reka bentuk jajaran, susunan kewangan serta aspek-aspek lain,” kata Kon Yeow (PH-Padang Kota) semasa menjawab soalan Azmi Alang (PN-Teluk Ayer Tawar) berhubung status Projek Terowong Dasar Laut.

Untuk rekod, projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer (km) bersama tiga jalan utama itu merupakan sebahagian daripada komponen PTMP dengan nilai keseluruhan sebanyak RM46 bilion.

Difahamkan, pakej terowong itu sendiri dianggarkan berharga RM6.3 bilion dan pernah dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar bagi mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang ketika ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa projek berkenaan tidak dihentikan atau dibiarkan, sebaliknya kekal diklasifikasikan sebagai projek aktif di peringkat negeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×