Terowong dasar laut : Pulau Pinang tunggu syor Jawatankuasa Pemandu

Terowong dasar laut : Pulau Pinang tunggu syor Jawatankuasa Pemandu

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan menunggu syor dan penelitian daripada Jawatankuasa Pemandu mengenai cadangan pelaksanaan terowong dasar laut sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan perkembangan terbaharu membabitkan keputusan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengenai Pelan Induk Pembangunan PPC untuk tempoh 30 tahun (2023-2053).

“Baru-baru ini, SPPP ada membentangkan kepada Exco mengenai pelan induk mereka membabitkan pembesaran kemudahan yang mungkin melibatkan sebahagian daripada kawasan projek terowong dasar laut ini.

“Jadi, kita masih lagi tunggu perbincangan lanjut dan Jawatankuasa Pemandu akan membuat syor mengenai cadangan projek terowong ini selepas meneliti cadangan pelan induk PPSB untuk masa depan pelabuhan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer (km) yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

PIP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion merangkumi terowong dasar laut yang menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Sebelum ini, dilaporkan syarikat konsesi, CZC, telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan pada penghujung 2020 selepas ditangguhkan selama empat tahun dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada Disember tahun sama.

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu pula bermula sejak Disember 2014 dan sepatutnya siap pada 2016, namun, tertangguh atas pelbagai faktor.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebarang keputusan lanjut mengenai projek terowong dasar laut itu akan diputuskan selepas kerajaan negeri mendapat makluman daripada Jawatankuasa Pemandu projek berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.

“Adakah projek terowong dasar laut ini akan diteruskan, akan dipinda jajarannya atau reka bentuk? Semuanya akan diputuskan selepas jawatankuasa pemandu membuat penelitian dan syor kepada kerajaan negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×