GEORGE TOWN: Pelaksanaan Program Pembentukan Karakter di peringkat prasekolah mulai tahun depan bukan langkah tergesa-gesa sebaliknya usaha berterusan Kementerian Pendidikan memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program berkenaan bukan subjek baharu sebaliknya diterapkan dalam semua sesi pembelajaran seperti Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik selain memberi penekanan terhadap nilai, adab dan akhlak murid bagi membentuk generasi yang berkarakter tinggi.
“Pembentukan karakter ini bukan berlaku dalam satu subjek semata-mata, tetapi, dalam semua mata pelajaran. Sebagai contoh, guru Sains boleh mengaitkan nilai dan karakter dalam pembelajaran Sains. Begitu juga guru bahasa Inggeris atau subjek lain,” katanya selepas merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang, di sini semalam.
Di bawah program tersebut, masa khusus selama 60 minit akan diperuntukkan dalam seminggu di sekolah rendah dan menengah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 bagi membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus.
Menurut Fadhlina ketika sesi sidang Dewan Rakyat, pelaksanaan program itu dijangka bermula tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sahsiah serta keperibadian murid.
Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, pelaksanaan Program Pembentukan Karakter itu turut melibatkan penglibatan pelbagai komuniti, kementerian lain serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Saya tidak melihat ia dilakukan secara tergesa-gesa kerana pembentukan karakter merupakan teras utama pendidikan sejak dahulu.
“Jadi, berilah ruang kepada guru-guru dan murid untuk melaksanakan pendekatan ini dalam perjalanan kurikulum baharu yang akan bermula tahun hadapan,” ujarnya.-UTUSAN










