KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) yakin bakal mengambil alih kerajaan negeri dengan memenangi sekurang-kurangnya 43 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, 29 November ini.
Presiden PIS, Michel Alok berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakan diterima terutama di Pantai Barat Sabah, pedalaman dan Utara Sabah yang memerlukan pembangunan.
Katanya, lapan peratus daripada calon yang diketengahkan merupakan golongan belia berusia bawah 40 tahun manakala lapan peratus lagi ialah wanita.
“PIS menampilkan calon termasuk golongan muda untuk.memberi peluang generasi berkenaan bersuara lebih lantang dan berkesan. Keyakinan itu lah menyebabkan PIS tidak berfikir panjang memberi mereka peluang bertanding pada pilihan raya ini.
“Saya percaya PIS bakal menang lebih banyak kerusi di utara dan pedalaman Sabah. Saya yakin pengundi muda akan memberi peluang kepada PIS kerana parti ini masih segar dengan pemimpin baru, jiwa baru.
“PIS juga tidak lupa menonjolkan pemimpin lama yang berpengalaman luas,” katanya hari ini.
PIS merupakan parti pertama menamakan 73 calon untuk bertanding pada PRN Sabah, sekali gus menutup spekulasi berhubung senarai akhir calon parti itu.
Michel berkata, tiada sebarang perubahan nama akan dibuat selepas ini.
“Keputusan mengumumkan senarai penuh nama calon lebih awal menunjukkan kesediaan PIS memasuki gelanggang pilihan raya dengan lebih tersusun,” katanya.
Michael yakin komposisi PIS tidak menjejaskan sokongan pengundi, khususnya golongan muda.
“Calon berpengalaman pun ramai, tapi hati mereka muda. Mereka memang mudah bergaul dengan belia,” katanya. – UTUSAN










