Mengundi bukan sekadar pilih wakil rakyat

Mengundi bukan sekadar pilih wakil rakyat

MOHD. Shafie Apdal mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Rakyat Sabah digesa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian dengan hadir ke pusat mengundi masing-masing bagi menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, proses pilihan raya bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memenuhi amanah sebagai anak Malaysia untuk memastikan suara rakyat didengari.

“Turunlah mengundi sama ada dekat atau jauh. Ini ruang yang diberikan kepada kita untuk menunaikan hak sebagai pengundi, dan ia mampu menentukan masa depan Sabah serta anak-anak Sabah,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul.

Terdahulu, beliau yang juga calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang tiba untuk mengundi kira-kira pukul 8.47 pagi.

Beliau menzahirkan harapan agar rakyat menggunakan peluang ini sebaik-baiknya demi menentukan kerajaan yang mampu menjamin pembangunan dan masa depan negeri.

“Kita bukan mencari kedudukan atau pangkat, tetapi berusaha memastikan masa depan anak cucu kita terjamin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie turut berharap perjalanan hari pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan serta mematuhi undang-undang dan prosedur SPR.

Beliau juga mengingatkan agar semua wakil calon menandatangani borang proses undi di setiap saluran bagi mengelakkan sebarang tuduhan atau keraguan terhadap ketelusan perjalanan pilihan raya.

“Yang penting adalah keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi. Kita mahu proses ini berlaku sebaik mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi, beliau percaya jumlah pengundi akan meningkat walaupun cuaca hujan berikutan musim monsun. 

Menurutnya, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk memastikan pengundi, termasuk di pedalaman seperti Banggi dan Pitas, dapat hadir mengundi.

“Saya telah minta kerjasama pihak SPR dan pihak berkuasa agar mematuhi jadual waktu pengundian yang ditetapkan. Di sesetengah kawasan luar bandar, pusat mengundi mungkin ditutup lebih awal apabila jumlah pengundi telah mencukupi,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN