Angin pagi menyapa lembut di kaki lima sekolah. Hujung rambut di dahi terbuai dek semilir. Tawa pelajar yang riuh menandakan waktu rehat sudah tiba. Waktu yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar tidak mengira dari kelas mana pun. Kantin dan koperasi sekolah menjadi tumpuan pada ketika itu. Namun, di satu sudut belakang bangunan makmal sains, suara lain pula yang bergema. Bukan suara ketawa atau bercerita tapi suara ejekan.
“Budak kampung macam kau ini mana layak berkawan dengan kami! Kami geli nak berkawan.” Tubuh seorang pelajar lelaki ditolak dengan hujung pen.
Gelak kasar bergema di belakang bangunan, jauh daripada pelajar lain. Tolakan itu membuatkan buku di tangan pelajar lelaki itu jatuh.
Pelajar lelaki itu bernama Mohamad. Pelajar di kelas yang sama dengan ahli kumpulan pembuli itu. Tangan Mohamad menggigil kecil. Dia cuba menahan air matanya daripada jatuh ke pipi. Dikedip-kedipkan kelopak matanya berulang kali agar empangan air mata tidak pecah.
Di hadapannya berdiri tiga pelajar lelaki yang sekelas dengannya. Dia setiap hari menjadi sasaran jenaka. Malah dia juga menjadi pelajar yang didera dalam diam. Tidak nampak kesannya di tubuh tapi minda Mohamad yang luka dengan nanah yang membusuk.
Sejak ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja, Mohamad sering menjadi bahan ejekan. Ayahnya tidak pandai menjaga diri. Ayahnya membunuh diri kerana mahu dapatkan duit insurans dan bermacam-macam tomahan yang terpaksa Mohamad telan. Mohamad cuba meluahkan perkara itu tapi akhirnya dia memilih untuk memendamkan saja.Tidak mahu rakan sekelasnya menderanya dengan lebih kerap kalau guru mendapat tahu dia mengadu apa yang berlaku pada dirinya.
Baju sekolahnya lusuh kekuningan. Kasutnya nampak usang dengan koyakan di hujungnya. Kadang-kala nasi goreng sejuk menjadi bekal tika waktu rehat. Nasi goreng itu disimpan sejak malam semalam. Semata-mata untuk dibawa ke sekolah untuk dimakan sendirian. Dia tidak pernah meminta lebih daripada itu. Dapat bawa bekal ke sekolah dengan makanan ringkas sudah cukup membuatkan dia bersyukur.
Dia tahu dunia sekolah adalah tempat yang tepat untuk menimba ilmu. Selagi dia tidak sakit, selagi itu dia akan ke sekolah walaupun setiap kali dia bertembung dengan rakan sekelasnya itu, ejekan tidak pernah culas walaupun sekali.
Sekolah yang diuar-uarkan sebagai sudut ilmu mula bertukar menjadi gelanggang ketakutan pada Mohamad. Setiap pagi ketika berjalan ke sekolah, dia cuba mengelak daripada bertembung dengan mereka. Tapi apakan daya, sudah sekelas, telinganya sudah tebal mendengar ejekan demi ejekan.
Biarlah ejekan itu memakan jiwanya. Dia tidak sesekali untuk tidak menimba ilmu di sekolah. Dia tidak mahu kecewakan ibunya yang bersusah payah cuba membesarkan dirinya. Ibunya bekerja di kantin sekolah yang sama sebagai pencuci pinggan. Ibunya ada sebab tertentu kenapa masih bertahan bekerja di kantin sekolah. Ibu pernah beritahu yang dia mahu melihat Mohamad di hadapan matanya setiap masa. Jadi, ibunya tidak segan untuk menjadi pencuci pinggan.
Pada suatu hari yang tidak pernah difikirkan akan ada satu kejutan, Mohamad ke sekolah seperti biasa. Nasi goreng sejuk yang dibungkuskan dengan daun pisang diletakkan di bawah meja. Waktu rehat nanti dia mahu cepat-cepat keluar dari kelas dan menuju ke belakang kantin. Dia mahu makan nasi goreng sejuk itu dengan ibunya. Biarlah orang lain hendak kata apa. Dia mahu membahagiakan ibunya.
Guru kelas melangkah masuk. Mohamad memandang Cikgu Maria berdiri di hadapan kelas dengan buku latihan masih di dalam pelukan. Cikgu Maria mengumumkan sesuatu yang mengejutkan semua pelajar di dalam kelas.
“Cikgu hendak pilih dua tiga orang dari kelas ini untuk sayembara pidato. Salah seorangnya Mohamad.” Membulat mata Mohamad apabila namanya dipetik.
Belum sempat Mohamad membantah, satu kelas bergema dengan suara ketawa. Ada yang ketawa sambil menampar meja, ada ketawa sambil menuding pada tubuh Mohamad. Mohamad hanya kaku di meja sambil memandang wajah Cikgu Maria dengan gelengan.
“Mohamad nak berpidato? Memang kalah besar sekolah kita. Tentu gagap nanti. Buat malu saja,” jerit salah seorang pembuli iaitu Farid sambil meniru gaya Mohamad bercakap.
Cikgu Maria menggeleng. Kenal benar dengan perangai Farid. Tapi Mohamad hanya tersenyum kecil cuba berlagak tenang. Hatinya di dalam dada sudah remuh dan berkecai dengan kata-kata Farid serta gelak tawa rakan sekelas. Air matanya bergenang di tubir mata. Menunggu masa saja jatuh ke pipi. Tangannya digenggam erat.
Pada malam itu, di rumah kecil peninggalan ayahnya, Mohamad berdiri di hadapan cermin retak. Dia memandang wajah muramnya. Kedua belah pipinya dipegang erat. Ditepuk perlahan dengan pandangan tidak lepas daripada cermin retak itu.
Ibunya yang memandang dari dapur hanya mengeluh perlahan. Anak matanya mula berkaca melihat Mohamad berdiri kaku di hadapan cermin retak. Dia mendapat berita pemilihan Mohamad dari Cikgu Maria. Mulanya dia terkejut tidak percaya. Selepas Cikgu Maria meyakinkan yang Mohamad ada sesuatu yang orang lain tidak ada, ibunya mula percaya. Cahaya yang sudah lama terpendam akan menyala terang nanti.
“Jangan takut, sayang. Kadang-kadang dunia hina kita bukan sebab kita lemah tapi mereka belum kenal siapa kita sebenarnya,” ucap ibunya sambil memeluk tubuh Mohamad.
“Berlatihlah. Ibu doakan kejayaan kamu. Jangan menyerah. Selangkah kita ke hadapan, teruskan melangkah. Jangan berpaling lagi ke belakang. Tiada apa yang boleh menghalang kamu lagi. Usah termakan dengan suara-suara ejekan pada kamu. Kuat dan terus kuat.”
“Ibu…” Mohamad sebak. Air matanya akhirnya gugur jua setelah sekian lama dia cuba menahan.
Hari pertandingan tiba. Dewan sekolah gamat dengan suara guru dan pelajar. Hari itu sesi pengajaran dan pembelajaran tidak berlangsung untuk memberi laluan kepada sayembara pidato. Mohamad duduk di belakang pentas. Tangannya diurut-urutkan cuba mengurangkan rasa debar.
Tiba-tiba muncul Cikgu Maria. Mohamad tidak mengendahkan guru muda itu. Mungkin guru muda itu mahu memberitahu tentang giliran peserta dan masa diberikan untuk berpidato di atas pentas. Walaupun kebanyakan peserta sudah cakna, tapi guru muda itu suka untuk mengingatkan semula agar peserta tidak dipotong mata kerana tidak dapat menamatkan pidato.
“Mohamad sudah bersedia?” Tanya Cikgu Maria.
Mohamad memandang dalam wajah guru muda itu. Manis senyuman Cikgu Maria dengan olesan gincu yang menambahkan seri wajah guru muda itu. Mohamad cuba lukis senyum tapi senyuman itu kelihatan canggung.
“Usah fikirkan apa orang kata. Usah termakan dengan kata-kata orang. Mohamad fokus pada isi yang Mohamad nak luahkan. Cikgu sudah baca pidato Mohamad, isinya sangat bagus,” beritahu Cikgu Maria.
“Te… terima kasih, cikgu.”
“Banyakkan berdoa minta diberikan ketenangan. Cikgu tahu yang Mohamad boleh. Cikgu juga tahu banyak perkara Mohamad mahu luahkan pada hari ini. Keluarkan semua yang terbuku di hati Mohamad. Biar semua orang tahu apa yang Mohamad rasa selama ini,” ucap Cikgu Maria semangat.
Nama Mohamad dipanggil. Dia memandang wajah Cikgu Maria. Cikgu Maria mengangguk dan memberikan senyuman semangat. Kaki Mohamad melangkah penuh berhati-hati mendaki anak tangga pentas di dewan utama sekolah. Mohamad berdiri di tengah-tengah pentas. Beberapa pelajar dari kelas lain membulatkan mata. Tidak percaya yang Mohamad boleh menyertai sayembara pidato. Ada yang sudah mengejek Mohamad lalu disambut dengan tawa daripada pelajar.
Mohamad memandang ke seluruh dewan yang sudah gamat. Tangannya menggigil. Jantungnya berdegup kencang. Dia rasa macam hendak terkencing di atas pentas. Namun, apabila dia terpandang wajah ibunya di hujung dewan dengan tuala kecil di tengkuk, dia kembali bersemangat. Mohamad melemparkan senyuman pada ibunya yang jauh.
“Harga Sebuah Hati,” ucap Mohamad memberitahu tajuk pidatonya. Dia menarik nafas panjang sebelum memulakan pidatonya. Dia membayangkan wajah ibunya yang tidak pernah berhenti berharap dan tidak juga mengeluh dengan apa yang mereka hadapi selama ini.
Ucaptama Mohamad bermula. Kata-katanya lahir daripada luka yang dalam. Ia bukan skrip yang dihafal walaupun dia menulis sendiri skrip pidatonya. Dia membicarakan tentang makna luka yang tidak berdarah. Tidak juga meninggalkan parut fizikal tapi luka yang dirasai itu terbit dari ejekan, hinaan dan gelak tawa yang mahu menjatuhkannya. Dia diam menelan rasa pedih dengan penuh seksa.
Mohamad berucap dengan penuh emosi. Sesekali bahunya terhincut menahan sebak di hati. Dia mahu meluahkan semua yang terpendam selama ini. Dia mahu tahu yang walaupun wajahnya melukis senyuman, tapi hatinya penuh dengan luka-luka yang tidak nampak. Berdarah tapi tidak kelihatan. Bernanah tapi tidak berbau.
Dewan bertukar sepi. Tiada lagi ejekan dan hinaan. Ibu di hujung dewan sudah berlinangan air mata. Dikesat pipi dengan tuala kecil di tengkuk. Mohamad sempat memandang ibu yang jauh di belakang sana. Penguat semangatnya. Andai ibu tiada, dia sendiri tiada pedoman lagi untuk terus kuat.
Wajah-wajah pelajar yang sering mengejek dan mentertawakannya mula menunduk. Entah kesal, entah tersentuh dengan pidato Mohamad. Di barisan hadapan, Farid menggigit bibir. Bibirnya mula bergetar. Dadanya mula rasa sesak. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Menunggu masa untuk tumpah ke pipi. Dia sepertinya menanggung sesuatu yang baru pertama kali dia kenal iaitu rasa bersalah. Selama ini, dia tidak pernah merasakan perasaan itu.
Akhirnya empangan air mata pelajar di dewan sekolah itu pecah jua. Ada yang tersedu-sedan mendengar suara Mohamad yang sudah serak basah. Guru-guru yang terlibat juga sudah mengesat air mata dengan ibu jari sendiri. Ulas bibir guru mula dikembangkan menjadi senyuman pada Mohamad.
Selepas tamat sayembara pidato sekolah, Mohamad tidak menunggu keputusan. Dia melangkah keluar dari dewan dan menuju ke laman sekolah. Dia duduk bersila di gazebo yang diletakkan di tengah-tengah taman bunga sekolah. Semilir menyentuh tubuh Mohamad. Dia mula rasa tenang.
Mohamad menoleh apabila ada satu suara memanggilnya. Farid berada di belakang dengan wajah kelihatan keliru antara ego dan penyesalan.
“Tadi pidato kau… aku…” Kata-kata Farid mati di situ. Dia menghulurkan tangan.
“Maafkan aku…” Mohamad terpaku sebelum melukis senyuman kecil.
“Tak apa, Farid. Kadang-kadang kita kena jatuh dulu untuk faham erti berdiri.”
Mereka berjabat tangan lalu Mohamad menarik Farid masuk ke dalam dakapannya. Tersedu-sedan Farid di bahu Mohamad. Mohamad akhirnya boleh tersenyum selepas ini apabila Farid sudah berubah ke arah kebaikan selepas mendengar pidatonya tadi. – UTUSAN










