IPOH: Tuan rumah, Malaysia mengharapkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada Kejohanan Hoki Jemputan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 di sini yang bermula esok.
Ketua Jurulatih pasukan negara, Sarjit Singh berkata, Malaysia berharap mencatat pencapaian memberangsangkan dan jika boleh mengulangi kejayaan muncul juara seperti pada kejohanan tahun 2020.
Skuad negara disemarakkan dengan kepulangan penyerang lincah, Faizal Saari.
Nama pemain itu adalah antara 20 yang disenaraikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada kejohanan di sini.
Kapten pasukan negara, Muhammad Marham Jalil pula menjanjikan persembahan terbaik di kejohanan itu.
Tidak menetapkan sebarang sasaran untuk Speedy Tigers, Marhan hanya berkata, mereka akan berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan.
“Menang kalah kami akan beri yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, juara Piala Dunia 2018 dan Olimpik Tokyo 2020, Belgium tidak mampu mengelak menjadi pasukan pilihan.
Ketua Jurulatih pasukan Belgium, Shane McLeod berkata, pasukannya kembali semula di kejohanan itu selepas 17 tahun dan berharap membuat penampilan cemerlang.
“Kami bermain banyak kejohanan di Eropah serta bertemu India dalam Pro-League, jadi kami sudah membuat persiapan rapi sebelum ke sini,” ujarnya.
Pasukan lain seperti New Zealand, India, Kanada dan Korea turut melaungkan amaran untuk beraksi cemerlang dalam kejohanan ini. – UTUSAN










