KUALA LUMPUR: Petronas merancang untuk mengaktifkan kesemua lapan lembangan petroleum menjelang 2035, seiring potensi Malaysia dalam meningkatkan pengeluaran petroleum dan membuka peluang besar bagi syarikat tempatan.
Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Datuk Ir. Bachong Pilong, misi itu termasuk memastikan aktiviti berterusan dan menyediakan peluang pekerjaan di seluruh rantaian bekalan, dari seismik, eksplorasi, pembangunan hingga operasi.
“Pada masa ini, hanya tiga lembangan aktif iaitu Lembangan Melayu (Semenanjung Malaysia), Lembangan Sarawak dan Lembangan Kinabalu (Sabah).
“Lima lembangan lain termasuk Lembangan Tawau, Lembangan Sandakan, Lembangan Layang-Layang, Lembangan Langkasuka dan Lembangan Penyu masih menunggu pengaktifan.
“Pelan strategik ini dijangka membuka peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan, termasuk seismik, eksplorasi, pembangunan dan operasi.
“Pengaktifan kesemua Basin akan memastikan Malaysia mengekalkan dua juta tong setara minyak (Boe), sekaligus menyokong keselamatan tenaga domestik dan pasaran eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Dialog Industri: Menjamin Keselamatan OGSE pada Masa Hadapan sempena Forum Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan 2025.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan pengaktifan lembangan dan penggunaan teknologi tinggi akan membuka peluang signifikan bagi syarikat tempatan.
“Ini termasuk kerjasama dengan pemain antarabangsa, pembangunan kemahiran dan penglibatan dalam projek berskala besar.
“Kepentingan perkongsian strategik juga penting bagi memastikan syarikat kecil mampu menyumbang dalam projek eksplorasi dan pengeluaran.
“Dengan strategi ini, Malaysia bukan sahaja menjamin keselamatan tenaga, tetapi juga memperkukuh daya saing industri petroleum, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan di seluruh negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Bachong Pilong berkata, bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti eksplorasi, penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam sektor itu juga memainkan peranan penting.
“Kerjasama dengan syarikat global seperti Microsoft membolehkan penggunaan AI dalam interpretasi seismik, meningkatkan kadar kejayaan penemuan daripada 40 peratus ke 70 peratus.
“Langkah ini turut memberi peluang kepada syarikat minyak dan gas (O&G) kecil dan sederhana untuk terlibat melalui perkongsian teknologi, sekaligus membina kapasiti tempatan dan membuka akses ke pasaran global.
“Teknologi bukan sahaja memaksimumkan keberkesanan eksplorasi, tetapi juga menurunkan risiko kesilapan manusia. Ini penting untuk memastikan setiap projek memberikan pulangan optimum kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Petronas menegaskan komitmen terhadap Sifar Bersih Karbon 2050, walaupun beberapa syarikat tenaga global mengurangkan usaha dekarbonisasi.
“Malaysia mengekalkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sekitar 25 juta tan setara karbon dioksida (CO₂ equivalent) melalui pelbagai inisiatif hijau termasuk projek Gentari dan pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV).
“Usaha dekarbonisasi ini dijalankan selari dengan pengeluaran petroleum, memastikan sektor tenaga kekal produktif sambil bergerak ke arah kelestarian,” katanya. – UTUSAN










