PETALING JAYA: Persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan Op Sohor yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan media tempatan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan dakwaan yang mengaitkan persaraan dua pegawai kanan tentera tersebut dengan kes berprofil tinggi berkenaan.
Beliau turut mengesahkan kedua-dua mereka akan bersara mengikut jadual dan mencapai umur persaraan wajib 60 tahun seperti ditetapkan pada tahun hadapan.
“Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan persaraan Mohd. Nizam dan Mohd. Razali dikaitkan dengan penahanan 10 individu, termasuk beberapa pegawai tentera, yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah pada Ogos lalu.
Menurut sumber rasmi, Mohd. Nizam dijadual mula bercuti pada 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd. Razali bakal menamatkan perkhidmatan pada Disember 2026. – UTUSAN










