IPOH: Fenomena ribut tropika Senyar yang sedang terbentuk di Selat Melaka yang turut menjejaskan Perak bersifat terkawal dan tidak serius setakat ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, langkah komprehensif dilakukan menerusi pemantauan perkembangan cuaca secara langsung melalui pusat kawalan operasi bencana negeri yang berpusat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
“Jika merujuk kepada laporan awal, ada beberapa negeri yang dijangka akan terkesan fenomena ribut tropika Senyar termasuk Perak.
“Namun, saya difahamkan Perak tidak terjejas serius dengan cuaca itu, sebaliknya ia hanya lalu dan pergi ke Selangor (dan sebahagian di selatan) dan dijangka terus ke Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pusat kawalan operasi bencana negeri di sini lengkap dengan sistem komunikasi lengkap serta menerima maklumat cuaca secara langsung daripada MetMalaysia dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, pusat itu juga menerima makluman secara langsung kepada setiap pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang berkaitan untuk persiapan rapi.
Dalam pada itu Saarani berkata, kerajaan negeri akan mengelak sekolah menengah kerajaan yang mempunyai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak menganggu tumpuan pelajar terlibat.
“Semua PPS berada dalam keadaan terbaik, kecuali di beberapa sekolah menengah yang mana calon-calon SPM perlu menduduki peperiksaan.
“Cuma di Hilir Perak sahaja, ada satu sekolah yang terpaksa digunakan sebagai PPS. Itu pun kita pisahkan antara dewan peperiksaan dengan tempat penginapan mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN










