KOTA KINABALU: Golongan muda berusia 18 tahun ke atas kini semakin menuntut kepimpinan yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menyediakan platform peningkatan kemahiran yang jelas dan relevan dengan pasaran semasa.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, Affan Jumahat berkata, isu pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama anak muda yang mahu keluar daripada situasi sekadar melepak atau bekerja sebagai buruh harian tanpa masa depan yang terjamin.
“Bagi anak muda, isu paling utama ialah pekerjaan. Ada yang hanya melepak atau bekerja sebagai buruh harian. Kita mahu ubah keadaan itu dengan memberi penekanan kepada kemahiran seperti media kreatif, teknologi dan keusahawanan, termasuk IKS.
“Anak muda mesti berani berniaga buka gerai burger, baiki telefon, cipta peluang baharu. Itu antara fokus saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, dalam saingan sengit membabitkan 11 calon, Affan tampil sebagai satu-satunya calon Bumiputera Islam muda di Tanjong Kapor. Saingan kali ini turut mempertemukannya dengan tiga lagi calon Islam yang lebih berpengalaman.
Affan juga berdepan cabaran besar menentang penyandang kerusi tersebut, Datuk Verdon Bahanda, yang sudah lama berkhidmat dan memiliki pengaruh tersendiri dalam kalangan pengundi setempat.
Namun, beliau optimis bahawa pendekatan yang rapat dengan rakyat serta fokus khusus terhadap pembangunan belia mampu menjadi faktor utama yang menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri kali ini.-UTUSAN










