PETALING JAYA: Ketika Gaza masih bergelut dengan kemusnahan besar walaupun terdapat gencatan senjata, Sudan pula terperangkap dalam krisis kemanusiaan yang disifatkan paling buruk di dunia saat ini.
Situasi berganda itu, menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), telah meletakkan tekanan amat besar terhadap operasi bantuan global dan memerlukan tindakan lebih tuntas daripada masyarakat antarabangsa.
Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Sudan kini dilihat krisis besar yang senyap kerana liputan media terhad menyebabkan dunia tidak melihat skala sebenar penderitaan rakyatnya.
“Krisis Sudan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Puluhan juta rakyat berada di ambang kebuluran, sistem kesihatan runtuh dan jutaan kanak-kanak terputus pendidikan. Jika dunia terus berdiam diri, kita bimbang Sudan akan memasuki fasa bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd Azmi berkata, MAPIM sedang meneliti kemungkinan menghantar misi penilaian ke negara jiran yang menempatkan pelarian Sudan, selain memperluas kerjasama dengan NGO tempatan dan rangkaian masjid untuk bantuan makanan, kesihatan asas serta perlindungan wanita dan kanak-kanak.
Konflik yang berlarutan sejak 2023 antara Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) meragut jutaan kehidupan dan memaksa 14 juta penduduk berpindah, menjadikan ia satu daripada krisis pelarian terbesar di dunia ketika ini.
“Dianggarkan lebih 30 juta rakyat perlukan bantuan kemanusiaan segera, manakala risiko kebuluran meningkat dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia, Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, akses keselamatan di Sudan amat terbatas, banyak kawasan dikuasai kumpulan bertelagah, manakala serangan ke atas orang awam dan kes keganasan seksual dilaporkan meningkat.
“Pelan bantuan Sudan tidak mencukupi kerana kekurangan dana global. Infrastruktur asas seperti hospital, air, elektrik dan jalan raya banyak yang musnah,” katanya. – UTUSAN










