BELEM: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30) akhirnya memuktamadkan satu perjanjian selepas dua minggu rundingan tegang berlangsung di Belem, Brazil.
Perjanjian yang dimuktamadkan pada Sabtu itu bersetuju untuk meningkatkan pembiayaan kepada negara berpendapatan rendah dalam menangani perubahan iklim, namun tidak merangkumi sebarang komitmen menghentikan penggunaan bahan api fosil.
Keputusan tersebut dibuat meskipun wujud tekanan kuat daripada negara Eropah dan negara Amerika Latin yang mahukan langkah lebih tegas terhadap pengurangan bahan api fosil.
Perjanjian itu diluluskan pada saat akhir dan dimeterai tanpa kehadiran Amerika Syarikat (AS), yang tidak menghantar delegasi rasmi ke persidangan kali ini.
Presiden COP30, Andre Correa do Lago, mengaku wujud perbezaan pandangan ketika beliau mengesahkan penerimaan perjanjian tersebut.
“Kami tahu ada antara anda yang mengharapkan komitmen lebih besar terhadap beberapa isu yang dibincangkan,” katanya kepada para delegasi.
Beberapa negara membantah kerana sidang kemuncak itu berakhir tanpa rancangan yang lebih kukuh untuk membendung gas rumah hijau atau menangani penggunaan bahan api fosil, sebagai sumber terbesar pemanasan global.
Colombia, Panama dan Uruguay mengetuai bantahan tersebut, dengan menegaskan pakej akhir tidak boleh mengabaikan konsensus saintifik mengenai bahan api fosil.
Wakil Colombia memberi amaran konsensus yang dikenakan di bawah penafian iklim adalah satu perjanjian gagal.
Ketiga-tiga negara itu menyertai Kesatuan Eropah (EU) dalam menuntut agar dimasukkan bahasa yang jelas mengenai peralihan keluar daripada penggunaan bahan api fosil, manakala gabungan diketuai Arab Saudi berkata, rujukan sedemikian tidak boleh diterima.
EU akhirnya bersetuju untuk tidak menghalang perjanjian itu kelmarin, dengan Pesuruhjaya Iklimnya, Wopke Hoekstra menegaskan walaupun hasilnya tidak sempurna, semua pihak wajar menyokong kerana sekurang-kurangnya ia menuju ke arah yang betul.
Di bawah perjanjian itu, negara kaya digesa menggandakan pembiayaan iklim untuk negara membangun menjelang 2035, terutama bagi usaha penyesuaian terhadap kenaikan paras laut, ribut dan gelombang haba ekstrem.
Perjanjian tersebut turut melancarkan inisiatif sukarela untuk mempercepatkan usaha negara mengurangkan pelepasan, ketika banyak daripadanya masih bergelut memenuhi sasaran sedia ada.- AGENSI











