Thailand mula agih makanan di Hat Yai

Thailand mula agih makanan di Hat Yai

BANJIR melanda Hat Yai. Thailand yang menyaksikan masih ramai pelancong Malaysia terperangkap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelancong Malaysia yang terkandas di Wilayah Selatan Thailand khususnya di Hat Yai berada dalam keadaan baik di hotel masing-masing dengan bantuan makanan turut diagihkan.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (Tahta), Aida Oujeh berkata, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah mengarahkan pelaksanaan operasi bantuan segera di wilayah selatan negara itu dengan 200,000 kotak makanan akan diagihkan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 50,000 kotak makanan akan diagihkan kepada pelancong terkandas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap orang akan menerima makanan untuk tiga kali dalam sehari. Ia sekali gus meringankan sedikit beban mereka yang terkandas ini.

AIDA OUJEH

“Kebanyakan pelancong Malaysia masih berada di hotel. Keadaan banjir khususnya di bandar Hat Yai semakin surut namun di luar bandar paras air masih tinggi. Kita harap air akan surut dan membolehkan pelancong kembali pulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, percutian rakyat Malaysia sempena cuti hujung minggu ke Hat Yai, Thailand bertukar mimpi ngeri dengan ramai yang terperangkap berikutan banjir yang melanda lokasi pelancongan tersebut.

Difahamkan, hampir 4,000 pelancong Malaysia terperangkap di sekitar Songkhla termasuk Hat Yai dengan ramai berkongsi di media sosial bahawa mereka terkandas di hotel tanpa dapat keluar mendapatkan makanan atau bantuan.

Sementara itu, seorang pelancong dari Malaysia, Zi Qing, 28, berkata, dia dan keluarga me­ngunjungi Hat Yai pada Jumaat lalu dan air mula naik pada pagi Sabtu menyebabkan mereka terkandas di hotel.

“Sejak malam tadi, kami terputus makanan, bayi pun tidak dapat minum susu dengan ha­nya diberikan air mineral.

“Pada masa ini, kami merancang untuk keluar daripada Hat Yai dengan melalui kawasan sempadan di Durian Burung, Kedah yang difahamkan boleh dilalui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN