Penduduk miskin Filipina berumah di celah kubur

Penduduk miskin Filipina berumah di celah kubur

Penduduk Manila menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat membina kediaman – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Manila yang padat, di mana kemiskinan berakar dan jutaan penduduk kekurangan tempat tinggal yang sesuai, sebahagian daripada mereka mencari perlindungan di celah-celah kubur.

Pondok milik Laileah Cuetara terletak di atas dua kubur yang ditinggikan di Kawasan Tanah Perkuburan Utara Manila.

Tanah perkuburan awam seluas 54 hektar itu menempatkan kira-kira 6,000 setinggan dan sekurang-kurangnya sejuta pusara.

Struktur kayu kecil tempat Cuetara tinggal bersama pasangannya dan dua anak mereka dipenuhi dengan tilam nipis, rak, televisyen dan bingkai gambar. Di pintu masuk, berdiri sebuah patung dewa di atas kubur bayi yang turut dijadikan meja.

Wanita berusia 36 tahun itu memperoleh sekitar 3,000 peso (RM212) sebulan dengan menjual manisan, minuman dan biskut kepada pengunjung tanah perkuburan.

Sepanjang cuti Hari Orang Suci dan Hari Semua Jiwa dua minggu lalu apabila berjuta-juta rakyat Filipina mengunjungi pusara keluarga mereka, Cuetara dan pasangannya menerima sehingga 1,700 peso (RM120) bagi setiap 30 kubur yang mereka bersihkan dan jaga sepanjang tahun.

Namun, pendapatan itu terlalu sedikit untuk membolehkan mereka berpindah.

“Dengan harga barangan keperluan yang tinggi sekarang, amat sukar untuk memperbaiki keadaan hidup kami,” kata Cuetara yang berpindah ke tanah perkuburan itu pada 2008 selepas pertikaian keluarga memaksanya meninggalkan rumah di pinggir Manila.

Seorang bekas ahli kongres Filipina tahun ini menganggarkan tiga juta orang di metropolitan Manila tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai, manakala laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023 menjangka sehingga 22 juta rakyat di seluruh kepulauan itu akan menghadapi nasib sama menjelang 2040.

Bagi Priscilla Buan, 51, yang dilahirkan di dalam tanah perkuburan dan membesarkan anak-anaknya di atas kubur, tiada yang lebih menakutkan selain perintah perobohan yang muncul setiap kali ada aduan daripada pengunjung.

“Setiap kali kami dengar tentang perintah roboh, kami akan pindahkan barang-barang kami. Kami sembunyikan peralatan elektrik di dalam makam lain supaya tidak kelihatan,” katanya.

Menurut Buan yang merupakan penduduk generasi ketiga tanah perkuburan itu, perobohan berlaku sekurang-kurangnya sekali setahun.

Buan dan keluarganya yang terdiri daripada empat orang, tidur beralaskan tilam yang diletakkan di atas dua kubur dalam sebuah pusara.

Ruang selebihnya diubah menjadi ruang tamu lengkap dengan sofa, almari dan peralatan rumah. Dia menjual makanan ringan dan barangan kecil dari tingkap berjeriji kubur tersebut.

“Walaupun saya mahu berpindah, kami tiada wang untuk membeli rumah,” katanya.

Wakil Kapatiran-Kaunlaran Foundation, Vicente Eliver yang menyediakan program pendidikan dan sumber pendapatan kepada penduduk sejak 2010 berkata, terdapat peningkatan membimbangkan dalam jumlah penduduk tanah perkuburan.

“Dahulu hanya penjaga kubur dan keluarga mereka yang tinggal di situ.

“Tetapi selepas anak-anak mereka berkahwin, mendapat anak dan cucu, generasi baharu ini juga memilih untuk tinggal di dalam tanah perkuburan,” katanya.

Kebanyakan penduduk berkata, mereka mendapat izin tidak rasmi untuk tinggal atau membina pondok di atas kubur sebagai balasan kerana menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Mereka menyambung bekalan elektrik daripada talian sedia ada dan membayar 3 peso (RM0.20) bagi setiap gelen air dari perigi berdekatan.

Namun, Pengarah Tanah Perkuburan, Daniel Tan memberitahu wartawan AFP, persetujuan tidak rasmi itu bukanlah satu penyelesaian jangka panjang.

“Ini tanah perkuburan, tempat bersemadi untuk mereka yang sudah meninggal dunia, bukan untuk orang yang masih hidup, jadi sebenarnya sesiapa pon tidak dibenarkan tinggal di sini.

“Kami benarkan penjaga kubur kerana mereka perlu menyelenggara pusara, tetapi kami kawal mereka,” kata Tan, sambil menyatakan pihak bandar sedang berusaha mencari penempatan kekal di tempat lain tanpa memberikan butiran lanjut.

Cuetara, yang menunjukkan surat kebenaran daripada pemilik kubur tempat dia menetap berkata, tinggal di tanah perkuburan bukan pilihan sesiapa.

Anak lelakinya yang berusia 11 tahun sering dibuli di sekolah kerana alamat rumah mereka, manakala anak perempuannya yang berusia enam tahun gemar melukis gambar rumah di dinding pondok.

“Saya juga mahu tinggal di luar tanah perkuburan, siapa yang tidak mahu? Kami semua di sini bermimpi untuk memiliki rumah sendiri di luar, tetapi susah, memang sangat susah,” ujarnya sedih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN