PUTRAJAYA: Pemilikan kerajaan Malaysia ke atas tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta yang dikenali sebagai Duta Enclave tidak lagi boleh dipertikaikan.
Ia selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) untuk kebenaran merayu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut gagal memenuhi ambang (threshold) yang diperlukan.
Panel terbabit juga mendapati permohonan kebenaran untuk merayu itu tidak mempunyai sebarang merit.
Dengan keputusan mahkamah tertinggi negara itu, kerajaan akan terus menjadi pemilik kekal tanah tersebut.
Semantan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Duta Enclave kekal menjadi milik kerajaan selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan bertarikh 24 Jun lalu turut memutuskan bahawa Semantan layak mendapat pampasan bagi tanah yang telah diceroboh oleh kerajaan.
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL – UTUSAN










