Pembantu rumah direman seminggu bantu siasatan cederakan majikan

Pembantu rumah direman seminggu bantu siasatan cederakan majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pembantu rumah yang dipercayai mencederakan dua beranak termasuk seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri di sebuah rumah dua tingkat di KotaSAS di sini semalam, direman tujuh hari sehingga 18 November ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wahidah Zainal Abidin dan dibacakan di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, suspek masih dirawat di HTAA dan memerlukan pembedahan kerana mengalami luka yang dalam di tangan kiri.

“Keadaan mangsa wanita berusia 57 tahun yang juga majikan suspek kini stabil dan sudah dibenarkan keluar hospital semalam manakala anak lelakinya berusia 28 tahun belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi semalam, kedua-dua beranak itu dilaporkan bergaduh dengan pembantu rumah warga asing terbabit yang menggunakan pisau pemotong daging.

Pergaduhan tersebut menyebabkan wanita berkenaan luka di kepala dan tangan manakala anak lelakinya putus ibu jari kiri serta cedera di kepala dan kaki.

“Suspek turut mengalami kecederaan kelar di pergelangan tangan kiri dipercayai akibat cubaan membunuh diri. Punca kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan kerja, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Polis turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN