LANGKAWI: Baki pendatang asing tanpa izin (PATI) bot karam dari Myanmar yang mungkin masih hidup dan belum dijumpai diyakini tidak terlepas ke darat di sekitar Pulau Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya juga tidak menerima maklumat berkaitan daripada orang awam terutama nelayan mengenai penemuan mangsa sejak semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat pada semalam tidak menemui mangsa selamat atau mayat dan hari ini operasi yang memasuki hari ketujuh diteruskan seperti biasa,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Ujar Khairul Azhar, pemantauan dilakukan di sekitar pulau-pulau di perairan ini juga tidak menemukan sebarang petunjuk tentang keberadaan migran di situ.
“Kami juga tidak mengesan kehadiran sebuah lagi bot yang dikatakan membawa 230 migran lain,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketujuh hari ini disambung pada pukul 7.30 pagi tadi.
“Aset yang terlibat adalah KM Tenggol, Petir 81, KD Laksamana Mohammad Amin dan PSC 19. Keluasan keseluruhan sektor pencarian sepanjang enam hari operasi adalah 1,355.13 batu nautika persegi.
“Pada hari ini, keluasan sektor pencarian adalah 33.86 batu nautika persegi melibatkan empat aset sahaja iaitu Maritim Malaysia, PPM dan TLDM bagi mengoptimumkan penggunaan sumber. Aset lain seperti bomba, APM dan agensi sokongan dalam mod bersedia,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 42 migran ditemui hanyut di perairan ini dengan 28 daripadanya meninggal dunia. Mangsa yang maut terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.-UTUSAN










