GEORGE TOWN : Pas Pulau Pinang menyambut baik kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang bersetuju agar isu tuntutan negeri itu diselesaikan melalui proses undang-undang.
Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, langkah tersebut merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan keadilan ditegak berdasarkan fakta sejarah dan perundangan yang sahih.
“Isu ini bukan bersifat politik. Sebaliknya, ia merupakan perkara yang melibatkan hubungan diplomatik dan perundangan antara Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Oleh itu, PAS Pulau Pinang menyeru agar semua pihak menghormati proses undang-undang yang akan berjalan, tanpa menimbulkan spekulasi atau kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya berharap agar proses tersebut dapat menyingkap kebenaran sejarah yang selama ini diputarbelitkan oleh pihak penjajah kerana ia amat penting bagi memastikan hak dan kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia difahami dengan tepat oleh rakyat.
“PAS Pulau Pinang juga menggesa agar DAP yang sering melaungkan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang, berpegang teguh kepada prinsip tersebut dengan memberi ruang isu ini diselesaikan melalui saluran undang-undang, bukan melalui naratif politik yang boleh mencetuskan polemik serta kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor sebelum itu dilaporkan berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menuntut Pulau Pinang susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
Terdahulu iaitu pada 2021, kerajaan Kedah telah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.-UTUSAN










