PETALING JAYA: Berbaki seminggu hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung minggu seluruh Sabah khususnya Kota Kinabalu sibuk dengan kehadiran para pemimpin politik termasuk dari Pusat yang tiba untuk memuktamadkan nama calon bakal bertanding.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tiba ke Kota Kinabalu lewat petang semalam dan jadual padatnya disusuli pertemuan bersama kepimpinan PKR.
Beliau kemudian mengumumkan calon PKR PRN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan parti semalam.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan mengumuman senarai calon seminggu sebelum Hari Penamaan Calon PRN Sabah pada 15 November ini dengan kemungkinan besar, beliau akan berbuat demikian di Bangunan UMNO Sabah pada hari ini.
DAP Sabah salah satu parti komponen PH dan sekutu BN dalam kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon-calonnya semalam.
Satu lagi parti kerajaan Perpaduan, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula akan mengumumkan senarai penuh calon parti itu pada 12 November ini.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) yang juga berentap di pentas PRN juga melancarkan jentera PRN Sabah di Sandakan kelmarin dengan kehadiran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan parti yang bakal bertanding 40 kerusi dijangka mengumumkan calon pada 11 November.
Setakat ini, hanya Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mendahului parti lain dalam umum beberapa calonnya untuk menjadi pertaruhan menghadapi PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian akan diadakan pada 29 November. Seramai kira-kira 1.7 juta rakyat Sabah layak untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. – UTUSAN










