KUALA LUMPUR: Yes Group Management Berhad (Yes Group) menyasarkan hasil kasar sebanyak RM16.54 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia penyelesaian pelancongan insentif dan pengurusan acara korporat itu menawarkan 91.87 juta saham baharu pada harga IPO 18 sen sesaham, selain tawaran jualan 45.93 juta saham sedia ada.
Keseluruhan hasil daripada terbitan saham baharu itu akan diterima oleh syarikat bagi membiayai rancangan pengembangan perniagaan, termasuk memperluas perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah, menubuhkan pejabat serantau di United Kingdom (UK) serta membangunkan tenaga kerja menerusi penubuhan Yes Academy.
Pengarah Urusan Yes Group, Angela Mak Shau Kwan berkata, sebanyak RM6.5 juta daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pengembangan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah dan penubuhan pejabat serantau di UK.
Katanya, sebanyak RM3 juta lagi akan digunakan untuk menubuhkan Yes Academy, manakala RM3.04 juta diperuntukkan sebagai modal kerja am dan baki RM4 juta bagi membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
“UK dipilih sebagai lokasi pejabat serantau berikutan kedudukannya sebagai hab antarabangsa yang strategik untuk menyokong penyediaan perkhidmatan pengangkutan darat ke destinasi utama di Eropah Barat.
“Kehadiran operasi sendiri di rantau berkenaan juga dijangka mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap penyedia perkhidmatan tempatan yang mengenakan margin antara lapan hingga 10 peratus.
“Langkah itu bukan sahaja membolehkan kumpulan meningkatkan kawalan terhadap kos operasi, malah berpotensi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan serta margin keuntungan dalam jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada prospektus Yes Group semalam.
Dalam pada itu, Yes Academy akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam industri pelancongan, khususnya bagi melahirkan ketua pelancongan dan pengurus pelancongan yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan berkaitan operasi industri.
Kumpulan menyasarkan pengambilan kira-kira 100 pelajar setahun menerusi akademi berkenaan, manakala penawaran program diploma atau ijazah belum menjadi sebahagian daripada perancangan awalnya.
Permintaan terhadap perjalanan insentif ke Eropah dijangka terus wujud kerana perjalanan itu menjadi salah satu bentuk penghargaan syarikat kepada pekerja berdasarkan pencapaian prestasi mereka.
Tambah beliau, perkhidmatan kumpulan turut merangkumi penyediaan itinerari yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan, termasuk demografi peserta, umur dan latar belakang bagi memastikan pengalaman perjalanan memenuhi objektif syarikat.
“Yes Group turut memberi tumpuan kepada pelanggan korporat, termasuk syarikat multinasional dan syarikat tersenarai awam, menerusi penyediaan pakej pelancongan insentif serta perkhidmatan perancangan dan pengurusan acara.
“Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM67.03 juta daripada penyelesaian pelancongan insentif tersuai serta perkhidmatan perancangan dan pengurusan acara,” katanya. – UTUSAN











