PARLIMEN: ‘Sebelah sana’ perlu henti sebar fahaman kebencian

PARLIMEN: ‘Sebelah sana’ perlu henti sebar fahaman kebencian

MOHD. SANY HAMZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang diingatkan supaya tidak menyebarkan fahaman kebencian dan fitnah yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian negara.

Mohd. Sany Hamzan (PH–Hulu Langat) berkata, politik negara perlu dibangunkan atas nilai kematangan dan tanggungjawab, bukan dengan menanam sentimen perkauman dan kebencian demi meraih sokongan.

“Negara kita sudah merdeka hampir 68 tahun. Sepatutnya budaya politik yang diamalkan hari ini mencerminkan kematangan, bukan politik sempit yang menyalahkan antara kaum.

“Kita tidak boleh terus berpegang pada naratif lama, kononnya setiap kegagalan berpunca daripada sesuatu kaum.

“Kalah pilihan raya salah orang Cina, jatuh motor salah orang Cina, tidak mampu beli televisyen pun salah orang Cina. Ini bukan politik matang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Sany berkata, tindakan menyebarkan tohmahan dan naratif kebencian melalui media sosial boleh menimbulkan suasana tegang antara rakyat dan menjejaskan imej politik negara.

Katanya, Kementerian Perpaduan Negara perlu terus memainkan peranan untuk menangani peningkatan sentimen perkauman dan memastikan keharmonian antara rakyat terus terpelihara.

“Pada masa ini, kita tidak pasti sama ada yang bercakap di media sosial itu manusia sebenar atau ‘robot’.

“Ada yang mengugut mahu membunuh Presiden Pas, menimbulkan suasana tidak selamat, malah menuduh kononnya anggota keselamatan membawa senjata untuk memberontak.

“Lebih berbahaya, ada juga yang menuduh Perdana Menteri. Fitnah seperti ini mesti dihentikan. Pihak di sebelah sana (pembangkang) perlu bertanggungjawab dan jangan menyebarkan fahaman kebencian yang boleh mengancam keamanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Sany turut menyeru supaya elemen perpaduan terus diperkukuh melalui kegiatan masyarakat seperti sukan dan perayaan yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

“Dengan sukan kita boleh berpadu dan dengan perayaan kita boleh bersatu. Inilah keunikan Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN