KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti sebanyak 10 instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Akta 866) bagi memastikan pelaksanaan undang-undang itu dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
Menteri Komunikasi, berkata, kajian terhadap kesemua instrumen berkenaan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meliputi aspek pelesenan, pengawalseliaan kandungan serta tanggungjawab penyedia platform digital dan permainan dalam talian.
“Kerajaan kini sedang meneliti 10 subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan diguna pakai bagi platform media sosial, permainan dalam talian dan penyedia perkhidmatan digital,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi menjelaskan, pembangunan instrumen subsidiari itu penting bagi memperincikan peraturan pelaksanaan, mekanisme penguatkuasaan dan langkah-langkah perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak, daripada risiko kandungan tidak sesuai atau yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, setiap penyedia platform digital termasuk syarikat permainan dalam talian perlu mematuhi undang-undang tempatan serta memperoleh lesen sebelum akta berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Ada pihak cuba melobi untuk dikecualikan daripada instrumen tertentu, tetapi kerajaan berpandangan semua platform dan syarikat, termasuk syarikat besar (big tech), perlu tertakluk kepada peraturan yang sama,” katanya.
Fahmi berkata, kerajaan melalui MCMC kini pada peringkat akhir penyediaan draf instrumen tersebut, yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan, sebelum pelaksanaan penuh akta dimulakan secara berfasa antara suku keempat 2025 hingga suku kedua 2026.
Katanya, usaha itu sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan digital rakyat, termasuk mempertingkat tadbir urus kandungan dalam talian serta melindungi golongan kanak-kanak daripada eksploitasi dan ancaman siber.
“Pendekatan kerajaan bukan sekadar mengharamkan, tetapi memastikan ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan tertakluk kepada undang-undang yang jelas,” katanya. – UTUSAN










