Bank Dunia henti pinjaman kepada China menjelang 2031

Bank Dunia henti pinjaman kepada China menjelang 2031

PINJAMAN Bank Dunia kepada China menurun apabila negara itu mencatatkan pertumbuhan pesat dan pengurangan kadar kemiskinan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bank Dunia akan menghentikan secara berperingkat pinjaman kepada China menjelang 2031, berdasarkan rangka kerja perkongsian negara baharu organisasi itu.

Seorang sumber yang mengetahui perkara tersebut mengesahkan kepada AFP mengenai laporan terdahulu oleh Financial Times susulan perkembangan berkenaan.

“China mencapai kemajuan pembangunan ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini, yang turut disokong oleh Bank Dunia dan pihak lain.

“Kini, kita sedang memasuki fasa baharu dalam hubungan ini, mencerminkan realiti tersebut,” kata seorang pegawai Bank Dunia yang mengetahui perkara itu.

Pinjaman Bank Dunia kepada China, ekonomi kedua terbesar dunia, menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila negara Asia itu mencatatkan pertumbuhan pesat dan pengurangan kadar kemiskinan.

Semasa penggal pertamanya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah menuntut agar Bank Dunia menghentikan sepenuhnya pinjaman kepada China, ketika beliau mengambil pendekatan lebih agresif terhadap pesaing ekonomi utama Washington.

Trump mengekalkan pendirian tersebut dalam penggal keduanya, namun tidak lagi mengulangi tuntutan itu secara khusus.

Pinjaman Bank Dunia kepada China mencapai paras tertinggi sebanyak AS$2.42 bilion (RM9.9 bilion) pada 2017, tetapi merosot sejak itu kepada AS$750 juta (RM3 bilion) pada 2025.

China juga menyumbang kepada tabung Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) Bank Dunia untuk negara paling kurang maju, dengan sumbangan sebanyak AS$1.5 bilion (RM6 bilion) dalam pusingan pengisian dana terkini menjadikan Beijing sebagai penderma kelima terbesar.

“Peranan Bank Dunia sedang berubah daripada pemberi pinjaman kepada rakan kongsi pengetahuan, selari dengan trajektori pembangunan China,” kata pegawai itu.

Pada 16 Jun lalu, Bank Dunia turut mengumumkan rancangan serupa untuk Poland, dengan perancangan mengurangkan pinjaman kepada sifar menjelang 2031 sambil mengekalkan bantuan teknikal.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN